PM puji kecekapan jentera penjawat awam urus banjir di Johor
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kecekapan jentera pengurusan banjir dalam kalangan penjawat awam di Peringkat Persekutuan dan negeri yang bertindak pantas menangani bencana di Johor.
Menurutnya, ia membuktikan bahawa ada kesedaran di semua peringkat untuk melaksanakan tugas dengan ikhlas dan pantas tanpa perlu menunggu arahan.
“Saya semalam ke Johor, perhatikan jentera kita di peringkat Persekutuan dan negeri itu, kepantasan mereka bertindak jauh lebih baik. Terima kasih Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turun segera.
“Saya lihat tindakan penjawat awam dan saya jumpa pegawai daerah, menteri besar, ketua polis, saya syukur, tak payah tunggu arahan, dia sudah tahu, kepantasan tentera dalam bina jambatan Bailey, bila saya teks sudah dalam proses menyiapkan, dua hari selepas itu siap.
“Ini maknanya ada kesedaran di semua peringkat khususnya penjawat awam untuk melaksanakan tugas dengan ikhlas dan pantas.
“Orang yang mengalami masalah itu tidak sama seperti kita, dia tidak mampu menunggu berhari-hari, makan minum pun dalam tempoh setengah hari dan selewat-lewatnya sebelum 24 jam sampai makanan melainkan tempat terputus (hubungan) yang mengambil masa satu hari,” katanya.
Beliau berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.
Anwar turut bersyukur dan bangga dengan komitmen ditunjukkan semua penjawat awam di Pahang, Kelantan dan Terengganu yang turut bertindak pantas.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengambil maklum banjir yang berlaku di Sarawak dan mahu tindakan segera yang sama dilakukan seperti di Johor.
“Untuk Sarawak ini, Timbalan Perdana Menteri akan selaraskan , kalau apa-apa salah, masalah.. salah dia, tapi saya percaya kita dapat kekalkan prestasi itu,” katanya.
Sementara itu, Anwar menegaskan, kenaikan skim gaji penjawat awam akan menjadi keutamaan kerajaan apabila pendapatan negara bertambah.
Perdana Menteri memberi jaminan berkenaan sebagai menzahirkan penghargaan terhadap komitmen dan kepantasan semua jentera penjawat awam yang terlibat dalam membantu mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas ketika ini. – Malaysiapost