PN ada hak rancang tumbangkan Kerajaan Perpaduan – Hadi
PERIKATAN Nasional (PN) mempunyai hak untuk merancang menjatuhkan Kerajaan Perpaduan (PN) kerana ia adalah amalan biasa dalam negara demokrasi.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tiada siapa berhak untuk menghalang PN daripada membuat perancangan berkenaan.
“Itu satu kenyataan politik dan biasa berlaku dalam politik, undi tidak percaya dan dapatkan SD (Akuan Bersumpah), penyokong kerajaan berpaling tadi itu berlaku.
“Memang kita berhak merancang tidak ada siapa yang boleh halang, kita nak merancang.
“Sebab itu sesuatu tidak mustahil berlaku. Memang berlaku dalam negara demokrasi,” katanya ketika ditemui media di Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi mendakwa ketika ini wujud dakwaan bahawa ada parti dalam Kerajaan Perpaduan, tidak berpuas hati kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita melihat ada tanda-tanda yang menunjukkan dalam kerajaan campuran yang ada ini perasaan tidak puas hari bersama-sama komponen di sendiri, ada berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai pendirian Bersatu sebelum ini yang mahu kekal sebagai pembangkang di Dewan Rakyat, Abdul Hadi berkata ia adalah kenyataan yang boleh berubah-ubah.
“Itu kenyataan awal dan boleh berubah. politik ini bersifat dinamik,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Anwar melabelkan Abdul Hadi sebagai ‘mengigau’ susulan kenyataan dikeluarkannya mendakwa kononnya Kerajaan Perpaduan akan tumbang.
Bagaimanapun, Perdana Menteri menjelaskan terpulang kepada Presiden PAS yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu untuk membuat perancangan sedemikian.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi ketika mengulas mengenai kenyataan pemimpin DAP bahawa PN ‘tidak bersih, beliau berkata mereka boleh membawa perkara itu ke mahkamah.
Katanya, PN terbuka untuk dibawa ke mahkamah namun ia perlu dilakukan dengan adil termasuk terhadap Pakatan Harapan (PH).
“Dia boleh bawa (kita ke pengadilan) kita terbuka, macam PAS terbuka boleh dibawa dan kita harap PH mesti adil (dibawa ke pengadilan).
“Ini kerana mereka nyata Kluster Mahkamah, yang sudah dihukum dan dilantik termasuk mereka yang masih di mahkamah,” katanya. – Malaysiapost