Polis tembak isteri direman 7 hari

Polis tembak isteri direman 7 hari

ANGGOTA polis berpangkat Lans Koperal yang disyaki menembak mati isterinya lebih lima das di sebuah rumah di Simpang Empat, Kangar, semalam direman tujuh hari sehingga 12 Mac bagi membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Kangar, Ana Rozana Mohd Nor di wad di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada jam 9 pagi tadi.

Suspek berusia 27 tahun itu kini dirawat dan bakal menjalani pemeriksaan psikiatri di hospital terbabit.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan reman suspek dan ketika ini pihaknya sedang menyiasat motif kejadian itu.

“Kita sedang menyiasat pelbagai aspek sama ada suspek terbabit dengan penyalahgunaan dadah, faktor kemurungan atau permasalahan membabitkan mental.

“Ini disebabkan tiada sebarang pergaduhan mahupun pertikaman lidah berlaku antara pasangan terbabit sebelum kejadian itu,” katanya lapor BH.

Dalam kejadian jam 6 pagi semalam, suspek yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis disyaki menembak mati isterinya yang juga seorang suri rumah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Malaysiapost

Komen