Status representasi Sharnaaz gugur pertuduhan 5 Mei ini
MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur hari ini menetapkan 5 Mei untuk mengetahui status representasi pelakon Sharnaaz Ahmad menggugurkan pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium, tahun lalu.
Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim menetapkan tarikh itu selepas peguam Mohamed Baharuden Mohamed Ariff yang mewakili Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, memaklumkan pihaknya akan mengemukakan representasi itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Pihak pembelaan akan menghantar representasi itu kepada AGC. Kami mohon satu tarikh untuk kami menghantar representasi tersebut dan menunggu keputusan (representasi) itu,” katanya.
Peguam itu berkata demikian ketika sebutan kes berkenaan hari ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memaklumkan pihaknya telah menyerahkan dokumen kepada pihak pembelaan hari ini dan perkara itu disahkan oleh peguam Mohamed Baharuden.
Seorang lagi peguam Sharnaaz, Datuk Abu Bakar Isa Ramat berkata, pihaknya akan memfailkan representasi itu dalam masa dua minggu selepas meneliti segala dokumen berkaitan pertuduhan terbabit.
“Pihak kami akan memfailkan representasi itu dan draf representasi telah pun siap. Pihak kami antaranya memohon agar pertuduhan digugurkan atau memohon satu bon untuk anak guam jika dibenarkan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, pelakon drama ‘Suamiku Encik Sotong’ itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun di kawasan lif pintu masuk sebuah blok kondominium di Jalan Dutamas jam 8.30 malam pada 16 Jun 2022.
Sharnaaz dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Malaysiapost
Kredit foto: Kosmo