Ustaz Wadi tiada tauliah mengajar agama di Selangor
JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan pembatalan dua ceramah Mohamad Wadi Anuar di negeri itu adalah kerana penceramah terkenal berkenaan tidak mempunyai tauliah mengajar agama di Selangor.
Pengarah JAIS, Datuk Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya mengambil maklum berkaitan hantaran yang dimuat naik di laman sosial Facebook Ustaz Wadi berhubung perkara itu yang kemudiannya dikongsi semula di platform sama oleh Harakahdaily semalam.
“Merujuk kepada hantaran di media sosial tersebut, JAIS ingin menegaskan bahawa nasihat yang diberikan kepada pihak penganjur bagi sesi ceramah Ustaz Wadi Annuar adalah selaras dengan ketetapan Seksyen 118, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016.
“Ia menetapkan bahawa hanya Jawatankuasa Tauliah yang mempunyai bidang kuasa memberikan tauliah bagi maksud pengajaran agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam di Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Shahzihan berkata, JAIS kesal dengan tindakan individu dan pihak tertentu yang membuat hantaran kurang tepat berhubung perkara tersebut.
“(Ia sekali gus) mewujudkan persepsi tidak baik terhadap Sultan Selangor, pihak Berkuasa Agama dan Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.
Semalam, Ustaz Wadi Annuar memaklumkan dua ceramahnya di Selangor pada 10 dan 11 Mac ini dibatalkan.
Beliau berkata, dua lokasi itu ialah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam dan Padang Astaka Tanjung Karang, Selangor.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan sebab pembatalan ceramah berkenaan. – Malaysiapost