Usul lulus ‘top 2’ tak dipertanding, ahli Umno mahu cabar keputusan RoS
DUA Ahli Umno mempertimbangkan untuk mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang memutuskan usul tambahan tiada pertandingan dua jawatan tertinggi Umno adalah sah seperti diputuskan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022.
Ahli Umno Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir, memaklumkan akan berbincang dengan peguam untuk memulakan proses semakan kehakiman berkenaan.
“Saya akan berbincang dengan rakan saya Fiqri Firdaus Muhammad Rom dan juga peguam kami bagi mempertimbangkan semakan kehakiman terhadap keputusan RoS tersebut,” katanya lapor FMT.
Aizat bagaimanapun percaya RoS telah menjalankan siasatan yang adil dan menyeluruh berkenaan isu dibawa beliau sebelum ini.
Namun katanya, beliau meragui pengecualian melalui Seksyen 70 diberikan Kementerian Dalam Negeri (KDN), boleh disalahguna pihak tertentu dalam membetulkan segala ketidakaturan dilakukan mana-mana pertubuhan dalam meluluskan usul.
“Pengecualian tersebut (Seksyen 70) boleh disalahgunakan untuk membetulkan segala ketidakaturan (irregularities) yang telah dilakukan oleh mana-mana pertubuhan di bawah akta tersebut.
“Secara tidak langsung, pengecualian ini telah mengesahkan ketidakaturan sememangnya wujud dalam proses mengangkat usul tambahan tersebut.
“Secara logiknya jika tiada pelanggaran di bawah Seksyen 13(1)(c)(4), makanya Seksyen 70 tidak perlu digunapakai oleh KDN. Pihak RoS boleh menghantar surat memaklumkan tiada pelanggaran telah berlaku,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengakui kecewa sekiranya seksyen itu digunakan secara tidak betul memandangkan kerajaan dan kepimpinan hari ini dikatakan sangat mengangkat kedaulatan undang-undang atau ‘Rule of Law’.
“Saya minta Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengambil serius tentang isu ini kerana ianya boleh mencalarkan kredibiliti kepimpinan kerajaan diterajui beliau, dan rakyat hilang kepercayaan terhadap sistem dan agensi penguatkuasa kerajaan,” katanya.
Malam tadi, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan RoS memutuskan Umno tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung usul tambahan PAU 2022 supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata, Kementerian Dalam Negeri memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13 (1)(c) (14) melalui Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).
Pada 20 Januari lalu, Aizat dan Fiqri menghantar aduan kepada RoS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti bulan ini. – Malaysiapost
Kredit foto: Utusan Malaysia