Wanita Umno kutuk penerbitan filem kontroversi Mentega Terbang
WANITA Umno mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan filem kontroversi Mentega Terbang yang jelas bukan sahaja mempunyai unsur-unsur yang tidak wajar untuk tatapan umum masyarakat, malah telah menghina dan memperlekehkan kesucian agama Islam.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata tayangan filem seumpama itu seolah-olah cubaan untuk mempromosi budaya “TAK APA” dalam kalangan masyarakat majmuk khususnya umat Islam.
Tambahnya, impak penyebaran filem tersebut amat besar kerana ia boleh memesongkan akidah dan mengelirukan umat Islam terutama anak muda.
“Tayangan filem seperti ini tidak boleh dinormalisasikan di negara ini.
Justeru, Wanita Umno menggesa kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang terlibat dalam pembikinan filem kontroversi Mentega Terbang ini.
“Wanita Umno juga menggesa kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji, memperhalusi dan menambahbaik garis panduan sedia ada serta bentuk-bentuk penguatkuasaan undang-undang supaya perkara ini tidak berulang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Noraini berkata, ketika semua pihak menggalakkan industri kreatif di negara ini, perlu ada satu mekanisme yang jelas sebelum mana-mana filem ditayangkan bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan rakyat di negara ini.
Sejak minggu lalu, filem Mentega Terbang arahan sutradara muda, Khairil Anwar, tular selepas dikecam mengandungi babak didakwa seakan-akan mempersendakan Islam dan menyentuh sensitiviti umat Islam.
Filem berdurasi sejam 45 minit itu menjadi bualan hangat kerana mengandungi babak seorang bapa yang berfikiran terbuka apabila tidak menghalang anak memilih agama, di mana perbuatan itu bertentangan dengan Islam. – Malaysiapost