Jika surat RoS betul, maknanya usul PAU tidak sah, kata KJ

Jika surat RoS betul, maknanya usul PAU tidak sah, kata KJ

BEKAS Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mempersoalkan keabsahan satu surat yang tular mengenai keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berkait usul tambahan Perhimpunan Agung Umno (PAU) supaya dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan.

Bekas Ketua Pemuda Umno itu berkata, jika surat yang tular itu benar, bermakna usul dibawa perwakilan Negeri Sembilan ketika PAU lalu adalah tidak sah.

“Jika surat ini betul (surat), usul PAU Umno yang dibawa oleh Umno Rembau untuk melindungi Presiden dan Timbalan Presiden dari pertandingan adalah tidak sah.

“Tetapi tindakan tindak sah ini mendapat pengecualian daripada Menteri Dalam Negeri,” katanya menerusi InstaStory, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan keputusan meluluskan usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan dibuat berdasarkan Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementerian telah memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta 832 kepada Umno berhubung usul tambahan diluluskan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022.

Untuk rekod, Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta 832 antara lain memperincikan bahawa pertubuhan sudah melanggar secara bersengaja mana-mana peruntukan akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya atau mana-mana kaedahnya atau bahawa mana-mana ahli pertubuhan sudah lazim melanggar peruntukan sensyen 4(1) Akta Pertubuhan 1948 dengan apa-apa perbuatan atau penyebaran yang mana seksyen 3(1)(f) akta itu terpakai.

Surat yang tular mengenai keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berkait usul tambahan Perhimpunan Agung Umno (PAU) supaya dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan.

Sementara, Seksyen 70 akta sama pula menjelaskan, menteri yang merujuk Menteri Dalam Negeri boleh menurut budi bicaranya dengan bertulis, mengecualikan mana-mana pertubuhan yang didaftarkan di bawah akta itu, daripada segala atau mana-mana jua daripada peruntukan-peruntukan akta itu.

Umno akan mengadakan pemilihan bagi peringkat tertingginya pada 18 Mac depan iaitu jawatan Naib Presiden sehingga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, selepas dua jawatan utamanya tidak dipertandingkan.

Sebelum ini, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan usul tambahan pada PAU 2022. – Malaysiapost

Komen