42,852 mangsa banjir di 4 negeri
JUMLAH keseluruhan mangsa banjir di empat negeri yang masih terjejas kini adalah seramai 42,852 penduduk daripada 12,099 keluarga yang dipindahkan ke 225 pusat pemindahan sementara (PPS) di 12 daerah yang terjejas setakat jam 4 petang tadi.
Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Johor mencatatkan mangsa seramai 39,477 mangsa daripada 11,175 keluarga yang ditempatkan di 203 PPS di lapan daerah yang terjejas.
Daerah Batu Pahat merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 25,690 mangsa, diikuti Muar (4,040 mangsa), Segamat (3,054 mangsa), Tangkak (2,485 mangsa), Kota Tinggi (1,536 mangsa), Kluang (1,392 mangsa), Mersing (1,162 mangsa) dan Pontian (118 mangsa).
Pahang pula mencatatkan seramai 2,353 mangsa daripada 685 keluarga di 16 PPS membabitkan daerah Rompin (2,340 mangsa) dan Maran (13 mangsa.
Melaka merekodkan mangsa seramai 606 penduduk daripada 162 keluarga yang dipindahkan di lima PPS di daerah Jasin, manakala di Sabah seramai 416 mangsa daripada 77 keluarga ditempatkan di satu PPS di Sandakan. – Malaysiapost