Anwar optimis Kerajaan Perpaduan kekal hingga habis penggal
KERAJAAN Perpaduan yang terbentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini akan kekal sehingga habis penggal.
Nada cukup optimis itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyuarakan keyakinan bahawa Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya tidak akan tumbang.
Malah, Anwar turut percaya, kerajaan yang disertai empat blok dan tiga parti kecil itu boleh kekal bertahan sehingga tempoh penggalnya tamat pada 3 Disember 2027 kelak.
“Saya yakin kerjasama ini (Kerajaan Perpaduan) akan bertahan sehingga habis penggal dan tidak terjejas dengan apa sahaja yang dikatakan oleh pemimpin PAS itu,” katanya ketika berucap menyampaikan ucaptama pada Sesi Interaksi Bersama-sama Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Secara Maya, di Putrajaya, hari ini.
Semalam, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Kerajaan Perpaduan akan ‘tumbang’ sendiri dalam masa terdekat.
Bahkan, Abdul Hadi menyifatkan usaha pembangkang untuk menumbangkan kerajaan Anwar adalah dibenarkan kerana sistem demokrasi berperlembagaan yang diamalkan negara.
Anwar dilantik Yang di-Pertuan Agong
meneraju Kerajaan Perpaduan pada 24 November 2022 selepas enam hari Parlimen tergantung berikutan tiada satu parti berjaya meraih majoriti mudah 112 kerusi.
Pakatan Harapan menang kerusi paling banyak pada PRU15, 82 kerusi bersetuju bekerjasama dengan blok politik tempatan lain.
Mengulas lanjut, Anwar turut mengulangi pendirian Kerajaan Perpaduan kekal kukuh dan menganggap pandangan pihak luar sebagai bermotifkan agenda politik selain percaya ramalan kejatuhan beliau tidak berasas.
“Ia (kenyataan pemimpin blok lawan tersebut) tidak lebih hanya berbentuk retorik politik,” katanya.
Tanpa merujuk kepada sesiapa, Anwar difahamkan mengulas kenyataan bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa Kerajaan Perpaduan tumbang dalam masa terdekat bukan pelik kerana menyifatkan situasi politik semasa kini tidak stabil.
Bagaimanapun Perdana Menteri tidak menjelaskan perkara tersebut dengan lebih terperinci namun optimis tiada halangan besar untuk beliau kekal menerajui negara ketika ini. – Malaysiapost