Anwar tak tahu apa rakyat mahu – Ahmad Fadhli

Anwar tak tahu apa rakyat mahu – Ahmad Fadhli

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat seolah-olah tidak merasai apa yang dirasakan Ahli-Ahli Parlimen yang sering bersama rakyat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari, berkata keadaan itu berlaku mungkin kerana Ahli Parlimen Tambun itu sering bertukar kawasan Parlimen dalam pilihan raya hingga menyebabkan beliau tidak mengetahui apa yang rakyat mahukan.

“Apabila Yang Amat Berhormat Tambun (Anwar) sebut tadi bahawa peruntukan telah dan disalurkan kepada agensi-agensi yang berkaitan dan tindakan-tindakan diambil untuk kebajikan rakyat.

“Tapi tadi kita dengar bagaimana Ahli-Ahli Parlimen daripada kerajaan sendiri memohon supaya peruntukan untuk banjir ini diberikan secara langsung kepada Ahli Parlimen,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Anwar di Dewan Rakyat berkata secara prinsipnya dia tidak menolak peruntukan sama rata kepada anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang, tetapi menurutnya tiada sebarang perbincangan dibuat berkaitan perkara itu.

Ditanya mengenai perbincangan berhubung peruntukan itu, Ahmad Fadhli berkata Ahli-Ahli Parlimen pembangkang menyerahkannya kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Whip Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Kami Ahli Parlimen pembangkang menyerahkan kepada Ketua Pembangkang dan Ketua Whip untuk keputusan-keputusan inter parti seperti ini.

“Tetapi saya juga ingin menyatakan bahawa berkenaan dengan peruntukan ini sudah disebut dengan jelas di dalam manifesto ‘Kita Boleh’ yang dicanangkan Pakatan Harapan (PH). Jadi saya fikir tidak ada keperluan yang mendesak kepada rundingan.

“Ia (peruntukan sama rata) boleh terus diberikan kerana ia merupakan satu daripada perkara yang telah dijanjikan (manifesto PH)” tegasnya.

Menurutnya, bagaimanapun jika ada apa-apa perkara yang memerlukan kepada persetujuan dan sebagainya ia tidak menjadi masalah kerana amalan sebelum ini setiap Ahli Parlimen perlu tandatangan sebelum terima sebarang peruntukan.

“Jadi tidak perlu perbincangan secara rasmi untuk duduk semeja dan sebagainya. Apa pun dalam isu ini kami serahkan kepada pihak Ketua Pembangkang dan Ketua Whip untuk membuat apa-apa gerakan rundingan dan sebagainya,” katanya. – Malaysiapost

Komen