Bot bertembung, 3 wanita maut
TIGA penumpang maut, manakala seorang parah dan 17 lagi cedera dalam insiden dua bot bertembung di perairan Lumut Pangkor, berhampiran Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Manjung kira-kira jam 9 malam tadi.
Mangsa yang maut adalah tiga wanita berusia lingkungan 26 hingga 43 tahun yang disahkan pihak Hospital Angkatan Tentera Laut (HAT), Lumut.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada orang awam pada jam 9.17 malam.
Menurutnya, sejurus menerima maklumat berkenaan, pihaknya bersama bomba dan dibantu TLDM ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Hasil siasatan mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah bot membawa 17 penumpang dengan seorang tekong dari arah Lumut ke Pangkor, yang berlanggar dengan sebuah lagi bot yang membawa muatan dua penumpang dan seorang tekong dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, 10 penumpang dalam bot dari arah Lumut tercampak ke laut sebelum diselamatkan kedua-dua tekong bot berkenaan dan dibawa ke HAT Lumut untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihak HAT Lumut memaklumkan tiga mangsa meninggal dunia, manakala seorang wanita berusia 43 tahun menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 17 lagi mangsa dirawat sebagai pesakit luar.
“Ketiga-tiga mangsa yang maut dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta berhubung dengan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-6886222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan kes ini,” katanya. – Malaysiapost