Dikaitkan dengan Daesh, Pas lapor polis
DEWAN Pemuda Pas menggesa polis menyiasat seorang pengguna Twitter yang mengaitkan parti itu dengan gerakan militan Islamic State (IS) dan Daesh.
Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari, berkata dakwaan sebegitu perlu diambil tindakan segera kerana ia berisiko menimbulkan ancaman terhadap keharmonian di negara ini.
Menurutnya, pengguna akaun Twitter Pak Arman Amin itu mengaitkan perarakan di Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 2023) di Setiu, Terengganu, bulan lalu yang membawa replika pedang, lembing dan perisai dengan IS dan Daesh.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, laporan polis berhubung dakwaan itu sudah dibuat hari ini dan pihaknya menggesa polis menyiasatnya mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Pas adalah parti yang ditubuhkan berasaskan undang-undang Malaysia sah, berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), tidak memerlukan campur tangan Menteri Dalam Negeri untuk mengecualikan apa-apa akta dan keperluan.
“Kami beroperasi secara sah, tidak ada apa-apa keperluan mengaitkan Pas dengan mana-mana gerakan keganasan yang berkait dengan antarabangsa,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Terdahulu katanya, Pemuda Pas telah membuat laporan di Balai Polis Selayang terhadap pengendali akaun Twitter tersebut.
Pada 5 Mac lalu, pengendali Twitter berkenaan memuat naik hantaran dengan ayat “Baru baru ini Pas buat perarakan angkat pedang. Rupanya ia kebangkitan Islamic State oleh Daesh. Memang Pas ni celaka”. – Malaysiapost