Dr Akmal calon sesuai, berkaliber sebagai Ketua Pemuda Umno
KEHADIRAN calon muda untuk mengisi jawatan Ketua Pemuda Umno bukan hanya untuk menarik generasi baharu, tetapi perlu tampil dengan idea lebih segar dan bertenaga dalam membawa perubahan.
Justeru, calon berkaliber yang memiliki pengaruh, latar belakang pendidikan meyakinkan serta prestasi memberangsangkan dilihat sesuai mengetuai sayap Pemuda Umno.
Antara yang dilihat berpotensi menggantikan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau.
Tiga calon lain yang bertanding jawatan nombor satu sayap Pemuda Umno ialah bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah merangkap Ahli Parlimen Paya Besar; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Meor Hassan Mat Ali.
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, melihat Dr Akmal menonjol dan berpotensi memberi saingan sengit dalam perebutan menggantikan Asyraf Wajdi.
“Saya lihat Dr Akmal berjaya membuktikan prestasinya sebagai Adun Merlimau dan Exco dalam kerajaan Melaka meskipun masih muda.
“Ia sekali gus menjadi daya penarik kepada pengundi muda dan golongan profesional jika menjadi Ketua Pemuda Umno yang baharu.
“Faktor itu penting perlu ada pada Ketua Pemuda Umno yang baharu kerana akan bertanggungjawab menarik kembali sokongan orang Melayu dan golongan profesional,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.
Mengulas lanjut, Izani berkata, sekiranya Dr Akmal berjaya pada pemilihan kali ini ia akan membuka mata golongan profesional bahawa Umno juga mengalu-alukan penyertaan golongan itu.
“Beliau antara yang paling dekat dengan masyarakat kerana seorang doktor dan kedudukannya itu mampu menarik lebih ramai untuk sertai Umno,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan berpandangan Dr Akmal adalah calon ‘neutral’ yang tidak memihak mana-mana kem dalam Umno.
Beliau berkata, calon neutral lebih sesuai menjadi Ketua Pemuda Umno kerana mampu membawa parti ke tahap lebih tinggi dengan kewibawaannya sendiri.
“Dr Akmal telah terbukti sebagai wakil rakyat muda dan disenangi, bijak dan mempunyai latar belakang yang baik. Itu ciri penting untuk meluaskan penguasaan parti di semua peringkat.
“Karakter penting Dr Akmal dilihat mempunyai sikit kelebihan berbanding calon lain sekali gus mampu merejuvinasi Umno jika diberi peluang,” katanya. – Malaysiapost