ECERDC sasar tarik RM9.5 bilion pelaburan ke Pahang
MAJLIS Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) komited mensasarkan peningkatan pelaburan lebih 40 peratus di Pahang, tahun ini.
Sasaran itu menjadikan jumlah pelaburan komited RM9.5 bilion berbanding RM5.5 bilion berbanding tahun lalu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata antara pelaburan berpotensi merangkumi sektor pembuatan, perniagaan tani, pelancongan, minyak dan gas serta sektor tenaga boleh diperbaharui.
“Semua (sektor) ini dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan baharu dan peluang keusahawanan kepada rakyat Pahang,” katanya dalam kenyataan di Kuantan, hari ini.
Beliau turut menyatakan keyakinan ECERDC dapat mengekalkan momentum pelaburan dan meningkatkan aktiviti promosi pelaburan untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dan bernilai tinggi ke Pahang.
“Dalam dua bulan pertama tahun ini, ECERDC telah mencapai RM2.07 bilion dalam pelaburan komited di Pahang.
“Ini adalah hasil usaha promosi intensif ECERDC dan kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Pahang, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia,” katanya.
Dalam mesyuarat itu juga, satu taklimat mengenai status inisiatif pembangunan industri kenderaan rekreasi (RV) di Malaysia dibentangkan.
Wan Rosdy berkata, ECERDC kini dalam usaha ‘Mencipta Destinasi’ bagi merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat melalui usaha menaiktaraf Pantai Hiburan dekat Rompin yang sudah dikenalpasti sebagai lokasi taman RV pertama dalam wilayah ECER. – Malaysiapost