Jambatan Bailey di Selancar sudah boleh digunakan – Ahmad Zahid

Jambatan Bailey di Selancar sudah boleh digunakan – Ahmad Zahid

PEMASANGAN jambatan panel keluli bermodular (jambatan Bailey) di Felda Selancar, Rompin Pahang telah siap dan boleh digunakan penduduk kawasan berkenaan yang terjejas susulan laluan berkenaan runtuh baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyiapkan jambatan berkenaan dengan segera.

“Alhamdulilah, pemasangan Bailey Bridge di Felda Selancar, Rompin Pahang telah siap dan boleh digunakan untuk kegunaan penduduk di sana.

“Terima kasih buat pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan semua agensi yang terlibat yang telah menyiapkan jambatan ini dengan segera,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid pada 1 Mac lalu turut meninjau lokasi jalan runtuh yang menyebabkan penduduk Felda Selancar terputus hubungan.
Terdahulu Pejabat Jurutera Daerah JKR Daerah Rompin,
Pahang dalam satu notis pemakluman, memberitahu laluan FT2490 jalan masuk ke Perwira Jaya dan Selancar, Rompin dibuka secara satu lorong kepada semua jenis kenderaan ringan bermula hari ini.

“Pemakluman ini adalah bertujuan untuk menerangkan mengenai laluan ini dibuka bagi akses keluar dan masuk ke FT012 (Jalan Kuantan – Segamat) serta laluan ke Jalan Selancar Redong.

“Kenderaan berat yang melebihi had muatan dilarang sama sekali untuk melalui jambatan ini,”

Menurut notis berkenaan, had muatan kenderaan yang dibenarkan melalui jambatan itu adalah 40 tan dengan kelajuan 30KM/J.

“Sila patuhi papan tanda dan arahan yang telah disediakan. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi JKR Daerah Rompin di talian 09-414 5040,” katanya. – Malaysiapost

Komen