Jumlah mangsa banjir di Johor menurun

Jumlah mangsa banjir di Johor menurun

JUMLAH mangsa banjir di Johor terus menurun kepada 39,620 orang daripada 10,862 keluarga setakat pagi ini, berbanding 40,129 orang daripada 11,210 keluarga pada 8 malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata semua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 210 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah yang terjejas banjir.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor, berkata dua daerah terjejas mencatatkan peningkatan, empat berkurangan, manakala tiga lagi kekal.

“Batu Pahat dan Muar menunjukkan peningkatan jumlah mangsa banjir berbanding malam tadi iaitu di Batu Pahat bertambah kepada 22,209 orang (6,219 keluarga) di 76 PPS, manakala Muar meningkat kepada 5,094 orang (1,222 keluarga) di 23 PPS.

“Empat daerah lain menunjukkan penurunan iaitu di Tangkak, Segamat, Kluang dan Kota Tinggi.

“Di Tangkak, jumlah mangsa banjir kini berkurang kepada 2,584 orang daripada 796 keluarga di 22 PPS; Segamat (4,036 orang), Kluang (2,591 orang) dan Kota Tinggi (1,754 orang),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Mersing, Johor Bahru dan Pontian pula kekal dengan jumlah mangsa banjir sama pada jam 8 malam tadi.

Katanya, Mersing masih dengan jumlah mangsa banjir seramai 1,164 mangsa (348 keluarga) di enam PPS; Pontian pula 150 mangsa (39 keluarga) di empat PPS dan Johor Bahru dengan 38 mangsa banjir (38 keluarga) di sebuah PPS.

Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula tiada mengeluarkan sebarang amaran hujan berterusan di semua daerah di Johor, namun terdapat amaran ribut petir atau hujan lebat di Mersing dan Kota Tinggi yang dijangka berlaku pagi ini. – Malaysiapost

Komen