Kerajaan dirayu tidak tutup terus ‘pintu’ pengeluaran KWSP
KERAJAAN Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dirayu agar tidak menutup pintu kepada rayuan daripada rakyat untuk pengeluaran segera wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Rayuan itu dibuat oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika Perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, pagi tadi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera, kesusahan yang dihadapi rakyat adalah sekarang dan tidak boleh tunggu sehingga 10 atau 15 tahun akan datang.
Ismail bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas inisiatif tambahan caruman RM500 kepada pencarum B40 dalam Belanjawan 2023
“Tapi duit itu dimasukkan sebagai caruman untuk dikeluarkan sebelum bersara. Kalau penyimpan umur 40 tahun, 15 tahun akan datang baru boleh keluarkan RM500 tu. Baguslah..murnilah apa yang kerajaan nak buat tu.
“Tetapi apa yang rakyat mahu adalah sekarang bukan 15 tahun akan datang… yang mereka hadapi kesukaran adalah sekarang, rumah nak dilelong adalah sekarang, anak nak masuk univeristi adalah sekarang, mereka nak diisytiharkan muflis, sekarang.
“Kalau tunggu 15 tahun, rumah dah kena lelong dah.. dah muflis dah,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023.
Menurutnya, kerajaan sekurang-kurangnya wajar mempertimbangkan untuk membenarkan pengeluaran secara bersasar dan bersyarat.
“Bukan kita tak faham…kita faham, tetapi seperti yang saya dan rakan-rakan lain kata.. (pengeluaran) secara bersasar dan syarat ditentukan oleh kerajaan.
“Yang penting jangan tutup pintu terus…buka, bincang lagi dan beri peluang kepada mereka yang memerlukan untuk teruskan kehidupan. Kalau tidak ramai yang terjejas,” katanya.
Beliau berkata, bagi rakyat terutama mangsa banjir besar seperti di Johor ia adalah keperluan yang mendesak sama seperti ketika pandemik Covid-19 dahulu.
“Dulu lepas Covid-19, keadaan mendesak, kita bagi (pengeluaran KWSP). Jadi harap kerajaan mempertimbangkan sekali lagi.
“Saya harap dalam penggulungan Menteri Kewangan nanti adalah berita baik untuk pencarum-pencarum KWSP,” katanya. – Malaysiapost