Kerajaan pelbagai kaum tak dapat atasi kemiskinan orang Melayu -Tun M

Kerajaan pelbagai kaum tak dapat atasi kemiskinan orang Melayu -Tun M

Najamuddin Mohd Nor

KERAJAAN Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan dapat memberi fokus untuk membela nasib orang Melayu. 

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat, Kerajaan Perpaduan yang terdiri pelbagai kaum tidak akan dapat mengatasi kemiskinan orang Melayu. 

“Apa dah dia (Anwar) buat setakat ni untuk orang Melayu? Bila kita kata orang Melayu miskin, dia kata orang Cina pun miskin. 

“Tapi saya masih ingat, masa saya kecil dulu orang Melayu, Cina semua miskin. Tapi orang Cina bila kita merdeka dia nampak peluang dan dia berjaya. 

“Orang Melayu tak terlibat dalam ekonomi. Mereka cuma tanam padi, tangkap ikan saja, mereka tak maju. Yang maju orang Cina pasal mereka dapat peluang banyak. 

“Jadi kalau kita kata nak atasi kemiskinan kita tak kira kaum, saya fikir segala faedah itu akan dapat bukan Melayu sahaja lah, orang Melayu tak bagi tumpuan kepada masalah mereka. Saya fikir mereka tidak akan dapat mengatasi kemiskinan orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas melakukan kunjungan sulung ke ibu pejabat parti Putra di Kuala Lumpur, hari ini. 

Dr Mahathir yang mengumumkan menyertai Putra minggu lalu, kini merupakan penasihat kepada parti yang dipimpin Datuk Dr Ibrahim Ali. 

Ditanya dengan penyertaan beliau dalam Putra akan menguntungkan parti itu sekaligus kepada Ibrahim, Dr Mahathir menjelaskan, keutamaannya bersama Putra adalah untuk memberi tumpuan membela nasib orang Melayu ketika ini. 

“Ini tak kira siapa untung, kita kira perjuangan, kemajuan orang Melayu. Banyak sangat orang fikir parti mana menang, orang mana menang, siapa nak jadi Perdana Menteri, yang itu tumpuan semua orang. 

“Kita bukan nak tumpu pada jawatan. Kita nak tumpu kepada masa depan orang Melayu kerana kita dapati daripada kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu sekarang ini adalah kerajaan pelbagai kaum. 

“Langkah yang lagi satu akan jadi dipimpin oleh bukan Melayu. Ini kemungkinan…. Jadi kita nak tumpu nasib orang Melayu ini terpelihara dan hanya kalau ada parti atau pun kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu yang mempunyai semangat kemelayuan baru lah masalah orang Melayu dapat diatasi,” katanya. 

Dr Mahathir juga menyifatkan kerajaan pelbagai kaum akan memberi manfaat kepada golongan yang berkebolehan sekali gus gagal membela nasib orang Melayu. 

“Masalah orang Melayu ini banyak, perlu ada tumpuan untuk atasinya. Kalau kita kira pelbagai kaum, dia bukan kira pasal orang Melayu, dia akan kira pelbagai kaum. 

“Pelbagai kaum ini sebenarnya bermakna keutamaan diberi kepada orang yang berkebolehan. Orang yang berkebolehan bukanlah orang Melayu,” katanya. – Malaysiapost

Komen