K’jaan Pahang tangguh tindakan terhadap petani usaha tanah tanpa kebenaran
Ben Ibrahim
KERAJAAN Pahang bersetuju menangguhkan tindakan penguatkuasaan terhadap petani mengusahakan pertanian di tanah rizab jalan tanpa kebenaran di Cameron Highlands.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanah Rata, Ho Chi Yang dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Keputusan itu adalah hasil pertemuan Chi Yang dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail baru-baru ini.
“Kerajaan negeri juga berjanji mengecilkan kawasan terlibat dalam penguatkuasaan, namun kawasan ladang terletak dalam rizab sungai perlu dikosongkan.
“MB (Menteri Besar) memutuskan tindakan penguatkuasaan hanya akan dilaksanakan terhadap ladang di rizab sungai sebagai persediaan untuk projek menaik taraf sungai pada masa hadapan,” katanya.
Sebelum itu, Chi Yang menggesa kerajaan Pahang mempertimbangkan nasib petani Cameron Highlands dan tidak melakukan tindakan penguatkuasaan yang keras terhadap ladang terletak di kawasan rizab jalan dan sungai.
Katanya, gesaan itu dibuat selepas beberapa petani dari Blue Valley, diarah Jabatan Tanah dan Galian Pahang mengosongkan sebahagian ladang mereka yang terletak di rizab jalan dan sungai dalam tempoh dua minggu.
Jelas Chi Yang, jika petani gagal, tindakan penguatkuasaan akan dijalankan terhadap mereka.
“Saya membangkitkan isu ini kepada MB (Menteri Besar) dan menggesa kerajaan negeri supaya bersimpati terhadap kesulitan dan kesusahan petani. Malah, saya menjelaskan kepada MB bahawa petani Blue Valley telah mengusahakan tanah mereka selama berpuluh tahun untuk mencari rezeki.
“Selain itu, ramai petani kini menghadapi beban kewangan akibat gangguan rantaian bekalan makanan semasa pandemik dan peningkatan kos pertanian seperti harga baja serta sewa tanah pertanian,” katanya menerusi kenyataan itu.
Chi Yang menambah petani di Blue Valley juga rela mengosongkan sebahagian ladang mereka tanpa meminta sebarang pampasan daripada kerajaan berhubung pembinaan Jalan Persekutuan FT185 yang menghubungkan Tanah Tinggi Lojing dan Simpang Pulai. – Malaysiapost