LHDN wajib ‘kejar’ pihak culas jelaskan cukai – PM
LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu memastikan mereka yang wajib membayar cukai tidak culas atau terlepas daripada tanggungjawab itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, jika usaha itu dapat dilaksanakan dengan baik, prestasi hasil negara akan lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
“Ini sebagai dorongan, selagi saya diberi amanah pimpin kerajaan ini, saya mahu rakyat sama ada kecil atau kaya tunduk kepada hukum (undang-undang) dan tidak terlepas daripada membayar cukai.
“Tanggungjawab saudara yang kena pastikan, kalau dapat dilaksanakan, saya percaya hasil kita akan terus meningkat lebih daripada prestasi yang cukup baik dicatatkan tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Hasil Ke-27, malam tadi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tanpa mengira individu itu sahabatnya atau penyokongnya, LHDN wajib ‘mengejar’ mereka supaya menjelaskan cukai.
“Kalau saudara lihat, pimpinan silih berganti dalam negara kita, ada yang kata mereka itu bersih tetapi sistem itu tercemar.
“Tanggungjawab saudara ialah melihat prestasi yang baik dan mencari (cara) supaya negara kita terangkat semula sebagai negara hebat,” katanya.
Sementara itu, beliau mengingatkan semua warga LHDN supaya tidak terjerumus dalam rasuah.
“Negara kita ini umumnya sudah terkenal dengan rasuah yang terlalu menjalar. Saya sebut rasuah ini bukan kepada seorang kleptokrat yang cuba diuar-uarkan, tak benar.
“Rasuah itu sudah sistemik, pemimpin politik memunggah kekayaan, kesan itu terlalu ramai, maka harus ada permulaan yang tegas dan keras untuk menyelamatkan bangsa dan negara kita daripada kebobrokkan sistem yang merosakkan. Ia bermula dengan kita,” katanya.
Dalam hantaran di Facebok, Anwar berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya pembayar cukai atas kerjasama baik dan ikhlas menjalankan amanah membayar cukai.
Katanya, ia bagi membolehkan pembangunan rakyat dan negara yang lebih sejahtera diperpanjang dengan lebih cekap dan baik.
“Untuk 2023, kerajaan meletakkan harapan tinggi agar momentum kecemerlangan ini dapat diteruskan dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada LHDN untuk meraih hasil cukai yang terbaik.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada pihak pengurusan tertinggi dan seluruh team LHDN atas sejarah baharu kutipan cukai langsung tertinggi negara iaitu sebanyak RM175.4 bilion atau peningkatan 21.75 peratus ketimbang 2021,” katanya. – Malaysiapost