MB Johor rayu PM beri moratorium untuk mangsa banjir

MB Johor rayu PM beri moratorium untuk mangsa banjir

MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan moratorium antara tiga hingga enam bulan kepada mangsa banjir di negeri itu.

Menurutnya, rakyat Johor terpaksa melalui ujian getir apabila berdepan dengan banjir dua kali pada tahun ini.

Jelasnya, bencana itu sudah tentu memberikan impak kewangan yang cukup besar kepada mereka.

“Ada mangsa yang mengalami kerosakan harta benda seperti kereta, perabot, alatan elektrik, malah ada yang mengalami kerugian hasil tanaman dan binatang ternakan.

“Maka bagi pihak mereka, saya dengan rasa rendah diri ingin memohon dan merayu agar Perdana Menteri dapat mempertimbangkan moratorium sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan bagi mangsa-mangsa banjir yang terjejas,” katanya menerusi Facebook.

Tambahnya, besar harapan Kerajaan Negeri Johor agar mangsa-mangsa banjir ini boleh diberikan sedikit kelegaan dari segi moratorium dalam tempoh yang dimohon itu.

Johor mengalami banjir teruk akibat peralihan monsun pada Januari hingga awal Februari lalu.

Awal bulan ini, negeri itu sekali lagi dilanda banjir akibat hujan berterusan. – Malaysiapost

Komen