Pengesahan Saifuddin bukti Umno tak langgar perlembagaan

Pengesahan Saifuddin bukti Umno tak langgar perlembagaan

PENGESAHAN Menteri Dalam Negeri berhubung status usul Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang meluluskan tiada pemilihan dua jawatan tertinggi, bukti tidak pelanggaran Perlembagaan Umno.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ini bukan kali pertama jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan Umno.

“Teima kasih atas kenyataan ini. Saya sudah jelaskan yang tiada sebarang pelanggaran kepada peraturan dan perlembagaan Umno berhubung usul PAU2022.

“Ini bukan kali pertama jawatan presiden dan timbalan tidak dipertandingkan.

“Maka kita terus melangkah ke hadapan untuk mendekati dan membantu rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggunakan kuasanya untuk mengecualikan Umno daripada dibatalkan pendaftarannya.

Saifuddin berkata, kementeriannya memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 kepada Umno.

Ia berhubung usul tambahan diluluskan PAU 2022 lalu berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.

Menurut Saifuddin, keputusan itu dibuat setelah meneliti ketetapan yang dibuat oleh PAU daripada Setiausaha Agung Umno pada 3 Mac 2023.

Kelmarin Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya akan menerbitkan surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang meluluskan usul tambahan parti itu. – Malaysiapost

Komen