PN nak jatuhkan kerajaan sebab takut masuk penjara, dakwa Isham
SIKAP berkias Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyatakan pembangkang sedang merancang menjatuhkan kerajaan sedia ada menunjukkan Presiden PAS itu tidak endah terhadao titah Yang di-Pertuan Agong agar situasi politik negara kembali stabil.
Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil berkata kenyataan Abdul Hadi itu juga menunjukkan beliau tidak kisah jika politik Malaysia tidak stabil, pelabur lari dan rakyat hilang kerja.
“Yang penting dia boleh tubuh kerajaan. Mungkin supaya dia dan kawan-kawan boleh lepas pendakwaan.
“Sebab sekarang mereka sedang panas dan berpeluh oleh siasatan. Kes rasuah projek dan rasuah pengundi oleh Perikatan (Nasional).
“Dulu YDP Agong sudah titah untuk kamu jadi kerajaan perpaduan. Tetapi oleh sebab ego kamu dan Muhyiddin (Yassin), kamu ingkar sebab tidak mahu jadi Timbalan (Perdana Menteri),” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Isham berkata, selepas ada pemimpin PN disiasat SPRM, usaha menjatuhkan kerajaan sedia ada dilakukan bagi melepaskan diri daripada didakwa di mahkamah.
“Kini selepas kamu disiasat baru kamu menggelupur mahu pula jadi kerajaan. Sebab kamu takut masuk penjara jadi tahanan,” dakwa Isham.
Semalam Abdul Hadi dilaporkan berkata PN mempunyai hak untuk merancang menjatuhkan Kerajaan Perpaduan kerana ia adalah amalan biasa dalam negara demokrasi.
Beliau berkata, tiada siapa berhak untuk menghalang PN daripada membuat perancangan berkenaan.
“Itu satu kenyataan politik dan biasa berlaku dalam politik, undi tidak percaya dan dapatkan SD (Akuan Bersumpah), penyokong kerajaan berpaling tadah itu berlaku.
“Memang kita berhak merancang tidak ada siapa yang boleh halang, kita nak merancang.
“Sebab itu sesuatu tidak mustahil berlaku. Memang berlaku dalam negara demokrasi,” katanya – Malaysiapost