PN tuntut Saifuddin jawab surat tular RoS

PN tuntut Saifuddin jawab surat tular RoS

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dituntut memberi penjelasan mengenai keabsahan satu surat tular yang didakwa dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung pemilihan Umno.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, surat tular itu menyatakan bahawa usul tambahan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang menghalang pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, sebagai tidak sah.

Setiausaha Agung PAS itu berkata, sekiranya jika surat itu tulen, ia bertentangan dengan kenyataan media Saifuddin yang memberi pengecualian kepada Umno daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, hari ini.

“Ini adalah satu isu kepentingan awam. Jika inilah amalan yang dilakukan, adakah pertubuhan lain boleh mencontohi atau perkara ini menjadi duluan kepada perkara seperti ini (pada masa depan).

“Adakah ini satu duluan yang mengikat semua pertubuhan, termasuk pertubuhan sebelah sana (parti kerajaan) dan sebelah sini (parti pembangkang). Ini adalah perkara cukup penting untuk dijelaskan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan keputusan meluluskan usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan dibuat berdasarkan Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).

Saifuddin berkata, kementerian telah memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta 832 kepada Umno berhubung usul tambahan diluluskan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022.

Malah, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin turut mempersoalkan keabsahan surat yang tular berkenaan.

Bekas Ketua Pemuda Umno yang dipecat daripada parti pada 27 Januri lalu berkata, jika surat yang tular itu benar, bermakna usul dibawa perwakilan Negeri Sembilan ketika PAU lalu adalah tidak sah.

Pada 20 Januari lalu, dua ahli Umno memfailkan notis bantahan kepada RoS berhubung ketetapan PAU 2022 untuk tidak mempertandingkan dua jawatan itu yang didakwa tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti. – Malaysiapost

Komen