Syed Saddiq minta KPM pertimbang semula tarikh buka sekolah di kawasan banjir
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) diminta mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak menangguhkan sesi baharu persekolahan bagi kawasan yang terjejas banjir, baru-baru ini.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata tidak sampai dua minggu lagi, murid akan kembali ke sekolah.
Namun katanya, bagi yang terkesan teruk akibat banjir baru-baru ini, sukar untuk mereka membuat persiapan.
“Menteri Pendidikan baru-baru ini katakan kementerian tak berhasrat tangguhkan sesi pembukaan sekolah walaupun banjir teruk berlaku di Johor.
“Saya harap menteri boleh pertimbangkan semula keputusan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Syed Saddiq turut memberikan tiga sebab kenapa sesi persekolahan perlu ditangguhkan di kawasan yang terjejas teruk akibat banjir.
“Pertama. Murid-murid dan cikgu-cikgu tak bersedia lagi kerana mereka perlu bersihkan rumah yang teruk terkesan.
“Itu baru rumah, sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS)? Nak bersihkan lagi ambil masa berapa lama,” soalnya.
Tambah Syed Saddiq, sebab kedua adalah bagaimana hendak menjalankan kelas atas talian kalau laptop, tablet mereka telah hanyut semasa banjir.
Katanya, di rumah pula murid terganggu dengan kerja pembersihan pasca banjir sehingga menyukarkan mereka untuk fokus.
“Ketiga. Pelajar dan guru-guru dah penat fizikal dan mental hadap bencana banjir, inikan pula nak terus masuk sekolah.
“Ada yang terkorban, ada yang hilang. Kasihanlah pada mereka. Beri mereka ruang untuk hadam situasi banjir ni,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap KPM memberi kelonggaran untuk sekolah menentukan tarikh pembukaan sekolah.
Ini kerana, katanya, ada kawasan yang teruk terkesan dan ada yang tidak.
“Berikan kelas tambahan untuk yang tidak sedia masuk kelas. Tiadalah mereka ketinggalan nanti.
“Beri peluang untuk guru-guru mohon cuti bagi uruskan rumah mereka yang terkesan. Mudahkan guru guru kita.
“Tiadalah mereka tertekan banyak sangat perkara nak uruskan dalam satu satu masa,” katanya. – Malaysiapost