Umno diberi pengecualian usul tiada pertandingan dua jawatan tertinggi – KDN
KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menjelaskan keputusan meluluskan usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan dibuat berdasarkan Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementerian telah memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta 832 kepada Umno berhubung usul tambahan diluluskan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022.
“Kementerian telah meneliti mengenai ketetapan yang telah dibuat dalam PAU 2022 daripada Setiausaha Agung Umno (Datuk Seri Ahmad Maslan).
“Merujuk kepada Perlembagaan dan Peraturan-Peraturan Persidangan Umno, kementerian berdasarkan Seksyen 70, Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) memutuskan untuk memberi pengecualian kepada Umno berhubung usul tambahan yang diluluskan dalam PAU 2022.
“Usul itu berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak akan dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan usul tambahan pada PAU 2022.
Surat mengenai pemberitahuan keputusan pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13 (1)(c) (14) melalui Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), diterima Umno minggu lalu.
Bagaimanapun, dua Ahli Umno yang membuat aduan kepada RoS berhubung keputusan usul tambahan itu akan mempertimbangkan untuk mencabar keputusan jabatan berkenaan.
Mereka meragui pengecualian melalui Seksyen 70 diberikan KDN boleh disalahguna pihak tertentu dalam membetulkan segala ketidakaturan dilakukan mana-mana pertubuhan dalam meluluskan usul. – Malaysiapost