Usah tumpu hanya satu kontraktor bekal makanan pada mangsa banjir

Usah tumpu hanya satu kontraktor bekal makanan pada mangsa banjir

AHLI Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mencadangkan kerajaan tidak hanya menumpukan kepada satu kontraktor sahaja untuk membekalkan makanan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Ka Siong berkata, masalah kualiti makanan kepada mangsa banjir dapat diatasi sekiranya kerajaan melantik lebih ramai kontraktor sebagai pengendali makanan.

“Apa yang penting kita nak cara pengurusan itu dibaiki, termasuklah jangan tumpukan hanya seorang kontraktor. Kalau dia tak sanggup nak buat (mengikut kriteria) kita bahagi-bahagikannya,” katanya menerusi video di Facebook.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, beliau bukan mahu mempertikai mana-mana pihak secara semberono berhubung kritikan terhadap kualiti makanan kepada mangsa banjir di PPS, baru-baru ini.

“Jangan salah faham… saya bukannya mahu mempertikaikan mana-mana pihak secara semberono. Tapi saya hanya mengangkat suara rakyat – mangsa banjir yang bagai ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.

“Saya tetap dengan cara saya, jika ada isu atau permasalahan yang timbul, maka kita perlu mencari jalan penyelesaian terbaik dengan segera,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa mangsa banjir bukan mahu ‘dimanja-manjakan’ serta tidak keterlaluan sekiranya mereka menuntut supaya makanan yang diberikan berkualiti serta tidak basi.

“Kita nak pastikan kualiti makanan itu kenalah menepati daripada segi khasiat, dan mereka bukan nak dimanja-manjakan juga kerana mereka pernah menjadi mangsa banjir (sebelum ini).

“Malah tidak keterlalun jika mereka hanya minta nasik baharu masak supaya ia segar serta tidak basi. Makanan ini juga sekadar untuk mereka mengalas perut sahaja,” katanya.

Ka Siong berkata, isu lain termasuk kelewatan menghantar perkakas termasuk khemah dan kelengkapan juga perlu diberi perhatian.

“Justeru, saya berharap ia dapat dibaiki kerana jumlah mangsa banjir kali ini agak ramai. Saya mohon kerajaan mempertimbangkan cadangan saya ini untuk penambahbaikan di masa depan,” katanya. – Malaysiapost

Komen