Wanita maut terperangkap dalam kereta hanyut banjir

Wanita maut terperangkap dalam kereta hanyut banjir

SEORANG wanita yang hilang dihanyutkan arus banjir ketika memandu di Jalan Nitar Utama, Mersing, ditemui maut terperangkap dalam keretanya.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Mohd Rizal Buang, mayat mangsa ditemui pada jam 10.19 malam tadi, selepas keretanya dinaikkan.

Beliau berkata, kereta mangsa ditemui pada jam 6.55 petang, kira-kira 15 meter dari lokasi asal hanyut.

“Kereta mangsa berjaya dibawa keluar menggunakan peralatan ‘vehicle rockery system’, yang mengambil masa kira-kira 40 minit berikutan berdepan kesukaran akibat pokok yang menghalang.

“Kita berjaya menemukan mangsa selepas kereta berkenaan dibawa naik sebelum menyerahkannya kepada pihak polis pada jam 10.22 malam untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, kereta mangsa ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dalam keadaan terbalik pada jarak 15 meter daripada lokasi dia dilaporkan hilang.

Pada kejadian kira-kira jam 6.49 pagi semalam, mangsa yang berusia 23 tahun itu, dipercayai dalam perjalanan dari Mersing ke Kluang dan memandu di jalan raya yang telah dinaiki air sebelum dihanyutkan arus bersama-sama kereta. – Malaysiapost

Kredit Foto FB

Komen