Awang digantung sertai Sidang Dewan Rakyat selama 2 hari

Awang digantung sertai Sidang Dewan Rakyat selama 2 hari

AHLI Parlimen Pendang Datuk Awang Hashim diarahkan keluar daripada Dewan Rakyat selama dua hari susulan mengganggu sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2023, oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mengarahkan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu keluar dewan selama dua hari bermula hari ini.

Terdahulu Awang dilihat cuba mencelah ketika sesi penggulungan Rafizi, namun tidak diberi laluan dan kekecohan tercetus apabila Ahli Parlimen Pandan itu menggelarkan Awang sebagai badut yang mengganggu sidang dewan.

“Pendang kalau hendak jadi badut, boleh cari menteri lain berucap, bukan masa saya… saya ada benda penting nak sebut,” katanya.

Awang kemudiannya bangkit dengan mendakwa ucapan Rafizi itu mempunyai sangkaan jahat sebelum Johari memutuskan supaya Ahli Parlimen Pendang itu keluar dewan selama dua hari.

“Saya rehatkan Pendang untuk dua hari, keluar sekarang, hari ini dan esok, saya sudah beritahu awal kalau menteri tak beri masa dan tempat, Pendang jangan bangkit sebab menteri tak bagi, tapi dia bangkit juga.

“Saya dah beritahu beberapa kali… saya dilihat tidak boleh mengawal dewan kerana rakyat hendak dengar apa yang kita bincang,” kata Rafizi yang kemudian menarik semula perkataan badut itu selepas diminta Johari.

Kekecohan berterusan apabila Awang tidak berpuas hati terhadap ucapan Rafizi yang menyuruhnya keluar selepas menarik semula perkataan badut berkenaan kerana menyifatkan arahan itu hak Yang Dipertua.

“Bukan kerja dia tapi kerja Speaker, saya nak dia tarik balik ‘Pendang keluar’,” kata Awang.

Tindakan itu kemudiannya mengundang kemarahan Johari yang kemudiannya meninggikan suara dengan meminta supaya Awang keluar.

“Semua duduk diam… Pendang dengan segala hormatnya… saya beritahu anda supaya keluar… keluar!,” katanya. – Malaysiapost

Komen