Bapa Abby Abadi meninggal dunia

Bapa Abby Abadi meninggal dunia

BEKAS anggota kumpulan Elite, Abby Abadi kehilangan ayahanda tercinta, Abdul Manan yang menghembuskan nafas terakhir jam 9 pagi, semalam.

Lebih sayu apabila pemergian ayahanda tercinta itu selepas genap lima bulan ibu kandung Abby meninggal dunia, Oktober lalu.

Khabar duka pemergian bapanya dikongsikan Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 45, menerusi hantaran dalam Instagram.

Menerusi hantaran itu, Abby turut meluahkan penghargaan atas jasa Allahyarham menjaga mereka sekeluarga dengan penuh tanggungjawab, selain berbangga dengan sikap dimiliki lelaki berusia 87 tahun itu.

“Saya bersaksi bahawa ayah ini menjaga saya dengan baik dan menjalankan tanggungjawab sebaiknya kepada anak-anaknya.

“Banyak sifat baik ayah, tapi yang dapat dekat saya ialah ayah suka bersedekah. Walaupun tak banyak mana, tapi ayah suka berbelanja untuk memberi kepada orang lain.

“Memang ada yang kurang sebab ayah anak ramai tetapi untuk bahagian saya, saya rasa cukup. Terima kasih ayah, sungguh adik rindu,” tulisnya di hantaran itu.

Dalam hantaran tersebut, Abby memuat naik video kenangan bersama bapanya ketika menerima rawatan di hospital.

Bagaimanapun, Abby tidak mendedahkan perincian mengenai pemergian insan kesayangannya itu.

Menurutnya, jenazah dimandikan di Masjid Asobirin AU5C sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Lembah Keramat, selepas solat Zohor, semalam.

Sebelum ini, Abby kehilangan ibunya yang pengsan ketika menjalani rawatan dialisis di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur, Oktober lalu. – Malaysiapost

Komen