Bekas MB Kedah meninggal dunia
BEKAS Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain meninggal dunia akibat masalah kesihatan di sebuah hospital swasta di Sungai Petani, pagi tadi.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengesahkan perkara tersebut dan turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian insan yang banyak jasa kepada Kedah.
Menurutnya, Allahyarham yang berusia 79 tahun adalah Menteri Besar Kedah kelapan dan mempunyai jasa yang besar kepada negeri ini.
“Ini adalah satu kehilangan yang besar bukan sahaja buat keluarganya malah kepada seluruh rakyat Kedah.
“Sumbangan beliau cukup besar semasa menjadi Menteri Besar satu ketika dulu. Kami sangat merasai kehilangannya dan beliau akan dikenang sebagai individu berdedikasi tinggi,” katanya.
Syed Razak adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubang Rotan dan menjadi Menteri Besar Kedah bermula 1999 sehingga 2005.
Beliau meletak jawatan Menteri Besar semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi disebabkan masalah kesihatan dan digantikan bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid. – Malaysiapost