Fasha Sandha dibenar pulang ke rumah

Fasha Sandha dibenar pulang ke rumah

AKTRES Fasha Sandha dibenarkan pulang ke rumah selepas lapan hari menjalani rawatan di hospital akibat kemalangan ketika menjalani penggambaran telefilem Anak Tuan, minggu lalu.

Menurut Fasha, itu adalah kali pertama beliau dimasukkan ke hospital selama lapan hari kerana cedera.

Jelasnya, dia tidak tertekan, sebaliknya menganggap apa yang berlaku sebagai tanda Allah ingin melihatnya berehat seketika daripada penggambaran.

“Saya tak tertekan dan tidak menyalahkan sesiapa. Saya anggap Allah hanya ingin saya berehat seketika.

“Ya, lapan hari begitu panjang buat saya kerana ini kali pertama dimasukkan ke hospital kerana kecederaan.

“Ini juga kali pertama saya menggunakan insurans yang diambil sejak 2004.

“Saya tidak pernah bermalam di hospital kecuali bersalin, itu pun hanya satu malam,” tulisnya dalam hantaran di Instagramnya hari ini.

Isteri kepada pelakon Aidil Aziz itu turut bersyukur kerana mata kanannya masih sihat dan sempurna.

“Ya, benda nak jadi. Apa kita boleh buat. Kita cuba sehabis baik, kita buat yang terbaik.

“Tetapi, kemalangan tetap terjadi. Dalam hati, saya hanya fikirkan tanggungjawab masih tertangguh.

“Di kala kesakitan, baru kita sedar, siapa yang betul-betul sayangkan kita. Saya tidak akan melupakan momen percutian di hospital selama 8 hari 7 malam,” katanya.

Fasha memaklumkan fizikal luar dan bengkak pada matanya sudah beransur pulih.

“Tulang mata kiri saya patah, ada tisu, otot dan darah beku.

“Namun, saya tetap bersyukur, mata kanan masih sihat dan sempurna. Banyak lagi nikmat kebaikan diberikan daripada ujian ini.

“Saya sudah boleh ‘discharge’ hari ini… Alhamdulillah,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada semua yang mengirim hadiah, bertanya khabar dan membantunya sepanjang dimasukkan ke hospital.

“Terima kasih doktor yang merawat, jururawat yang tolong titiskan ubat pada mata saya setiap dua jam sekali,” katanya.

Khamis lalu, Fasha berkongsi video kemalangan ketika berada di lokasi penggambaran telefilem Anak Tuan arahan Along Kamaluddin.

Menerusi paparan rakaman video, Fasha dikatakan salah ‘landing’ sehingga matanya terkena bucu katil ketika ditolak rakan gandingannya, Azhan Rani. – Malaysiapost

Komen