Hannah Yeoh berlatih bersama skuad B20 wanita negara

Hannah Yeoh berlatih bersama skuad B20 wanita negara

INI baru betul turun padang! Demikian yang dilakukan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh apabila berlatih bersama skuad bola sepak wanita bebangsaan bawah 20 tahun (B20) di Wisma FAM di Kelana Jaya, semalam.

Walaupun hanya berlatih bersama barisan pemain muda negara untuk seketika, namun pastinya kehadiran Ahli Parlimen Segambut itu dapat menaikkan semangat para pemain.

“Hari ini (semalam) saya telah ke Wisma FAM untuk penyampaian amanat kepada pasukan bola sepak wanita kebangsaan B20 bagi menghadapi pusingan pertama Kelayakan Piala Asia B20 Wanita di Kemboja.

“Pasukan ini bertolak esok (hari ini) untuk mewakili Malaysia. Saya sempat berlatih seketika bersama mereka dan jurulatih Cameron Ng.

“Happy Women’s Day tomorrow and we celebrate every woman in sports,” tulisnya di Facebook malam tadi.

Skuad bergelar Malayan Tigress B20 itu menjalani sesi latihan terakhir sebelum terbang ke Phnom Penh, Kemboja dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini.

Skuad negara diundi dalam Kumpulan G akan memulakan aksi pertama Kelayakan Piala Asia Wanita B20 menentang Kemboja, Jumaat ini dan perlawanan terakhir menentang Myanmar pada Ahad di Stadium Smart RSN, Phnom Penh.

Sebanyak lapan juara kumpulan akan ke pusingan kedua Kelayakan Piala Asia Wanita B20 yang dijadual berlangsung 3 hingga 11 Jun 2023 di mana empat daripada lapan pasukan terbaik ini akan meraih tempat ke final di Uzbekistan, tahun hadapan. – Malaysiapost

Komen