‘Ibu bapa nak anak jadi menteri antara punca remaja tertekan’
PENDUDUK Wilayah Persekutuan paling ramai direkodkan mengalami masalah kemurungan dan kebimbangan (anxiety) tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, dapatan itu diperoleh berdasarkan saringan membabitkan 336,900 penduduk di seluruh negara yang dilaksanakan pada 2022.
Menurutnya, antara faktor yang menyumbang kepada masalah kemurungan di Wilayah Persekutuan ialah kos sara hidup tinggi, miskin bandar, masalah perhubungan dengan ibu bapa dan rakan sebaya.
“Seperti diketahui ramai golongan B40 di Wilayah Persekutuan selain masalah perhubungan contohnya tekanan dari ibu bapa yang mahu anaknya menjadi menteri… kasihan anak-anak jadi tertekan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang mahu tahu negeri mana mempunyai kes tertinggi masalah gangguan mental.
Sementara itu, Dr Zaliha berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil langkah untuk mengatasi permasalahan kesihatan mental yang dialami oleh masyarakat khususnya bagi kumpulan sasar termasuk kanak-kanak remaja, golongan muda dan warga emas.
Menurutnya, sebanyak 1,161 Klinik Kesihatan, 58 buah hospital, 34 buah Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari), dan empat institusi mental telah disediakan meliputi aspek promosi, pencegahan, pengesanan awal dan rehabilitasi.
Jelasnya, KKM juga telah mengadakan kolaborasi dengan kementerian lain iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
“KKM juga melaksanakan Kempen Let’s Talk Minda Sihat yang merupakan satu kerjasama melibatkan agensi kerajaan serta pihak badan bukan kerajaan (NGO) dalam mempromosikan penjagaan kesihatan mental,” katanya. – Malaysiapost