Imam jemputan solat tarawih perlu dapat kebenaran JAIPk

Imam jemputan solat tarawih perlu dapat kebenaran JAIPk

MAJLIS Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menetapkan beberapa garis panduan program ibadah yang dibenarkan dilaksana ketika Ramadan tahun ini yang perlu dipatuhi pengurusan masjid dan surau di negeri berkenaan.

Berdasarkan surat Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Harith Fadzillah Abdul Halim kepada Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid seluruh negeri Perak bertarikh 6 Mac lalu, antara garis panduan yang ditetapkan adalah semua program di masjid hendaklah dianjur atas nama jawatankuasa kariah masjid dan bukannya nama penyumbang.

“Imam tempatan hendaklah diutamakan, manakala imam dari luar negara atau imam luar kariah perlu mendapat kebenaran bertulis Pengarah JAIPk.

“Imam luar berkenaan dibenarkan menjadi imam di sesebuah masjid atau surau tidak melebihi tujuh malam sepanjang bulan Ramadan,” menurut surat yang dimuat naik di laman Facebook JAIPk.

Turut dibenarkan untuk mengadakan hidangan berbuka puasa (iftar), hidangan selepas tarawih (moreh) dan hidangan sahur.

Garis panduan itu turut menetapkan petugas yang terbabit secara langsung menguruskan hidangan makanan, wajib membuat ujian pengesanan Covid-19: RTK Antigen (RTK-Ag) dan ditunjukkan kepada petugas masjid.

“Tadarus al-Quran dan qiamullail juga dibenarkan diadakan di masjid atau surau.

“Solat tarawih hendaklah didahulukan sebaik selesai solat sunat ba’diyah Isyak dan tazkirah jika mahu diadakan, hendaklah dilakukan selepas selesai solat sunat witir yang mengiringi solat tarawih,” menurut surat itu.

Sementara itu surat berkenaan turut memaklumkan, Masjid Ubudiyah, Kuala Kangsar dan Masjid Sultan Idris Shah ll (Masjid Negeri Perak) mengadakan 20 rakaat solat tarawih.

Bagi bilangan rakaat solat tarawih di masjid dan surau lain pula diserahkan kepada ketetapan dan budi bicara Jawatankuasa Kariah masing-masing. – Malaysiapost

Komen