Kahwin bawah umur bunuh potensi pendidikan kanak-kanak – menteri
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) memandang serius isu perkahwinan kanak-kanak perempuan di bawah umur kerana dilihat mampu membunuh potensi dan menghalang akses pendidikan terhadap golongan itu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata jika isu isu perkahwinan kanak-kanak perempuan di bawah umur tidak ditangani ia akan mewujudkan suasana diskriminasi jantina dalam kalangan masyarakat.
Katanya, sebagai pembuat dasar, pihaknya akan menangani isu ini dengan lebih objektif dan tuntas menerusi dasar yang dibuat.
Sebagai contoh, katanya, sebelum ini dasar pendidikan wajib hanya sehingga tahun enam sahaja, namun KPM kini berada dalam fasa Rang Undang-Undang (RUU) untuk mewajibkan kanak-kanak sehingga ke sekolah menengah.
“Dalam hal ini, kanak-kanak mesti berada di peringkat sekolah wajib sehingga sekolah menengah.
“Selain itu, pihak KPM juga boleh menampung pelajar yang berkahwin pada usia muda dan ketika masih bersekolah untuk terus mendapatkan pendidikan.
“Ini termasuk golongan yang hamil ketika bersekolah,” katanya dalam sebuah program televisyen sempena Hari Wanita Antarabangsa 2023, yang disambut hari ini.
Fadhlina berkata, golongan kanak-kanak yang berkahwin awal tidak boleh didiskriminasi sekalipun mereka berkahwin dan hamil.
Tambah beliau, mana-mana pelajar yang tercicir ataupun yang mempunyai halangan status untuk menuntut pendidikan di peringkat sekolah, akan dibantu oleh pihak KPM untuk terus mendapatkan akses pendidikan yang baik.
“Tidak ada seorang pun yang wajar tercicir dalam konteks pendidikan. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mula dididik untuk diberi kesedaran mengenai penting ruang pendidikan untuk kanak-kanak.
“Tidak dinafikan ada golongan agamawan yang membenarkan kanak-kanak berkahwin di usia muda, namun kita perlu melihat anak ini dalam konteks masa depan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, ujarnya setiap lapisan masyarakat termasuk ibu bapa, agamawan dan media perlu memainkan peranan bagi memperkasakan pendidikan dalam kalangan wanita bermula daripada bangku sekolah. – Malaysiapost