Kenyataan Hadi gusarkan rakyat, pelabur – Mat Sabu

Kenyataan Hadi gusarkan rakyat, pelabur – Mat Sabu

PARTI Amanah menyifatkan kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengakui Perikatan Nasional (PN) merancang untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan, bukan sahaja menggusarkan rakyat, malah pelabur asing.

Katanya, kenyataan oleh Presiden PAS itu menimbulkan rasa kurang yakin pelabur untuk melabur di Malaysia kerana bimbang terhadap ketidakstabilan politik di negara ini.

“Antara syarat pelabur untuk melabur di Malaysia ialah kesejahteraan, keamanan dan kestabilan (politik) sesebuah negara dan mereka sanggup mengeluarkan belanja yang besar untuk melabur.

“Tetapi apabila ada pemimpin besar seperti Abdul Hadi menyebut nak menukar kerajaan tidak melalui pilihan raya, ia boleh menggusarkan para pelabur.

“Sepatutnya Presiden PAS yang mewakili PN bekerja kuat (melalui) segala jentera yang ada untuk menumbangkan kerajaan perpaduan melalui pilihan raya yang akan datang… ini yang menyuburkan demokrasi,” katanya menerusi video yang dimuatnaik di Facebooknya.

Menurut Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, angka-angka sebelum ini menunjukkan pertukaran tiga Perdana Menteri dalam masa singkat, telah menjejas aliran pelaburan ke Malaysia.

Oleh itu katanya, apa yang disebut oleh Abdul Hadi secara berulang untuk menukar kerajaan bukan melalui pilihan raya, akan mengurangkan sentimen para pelabur untuk datang ke Malaysia.

“Tindakan orang veteran dalam politik Malaysia ini saya amat kesal, sepatutnya beliau menyeru ahli dan penyokong PN untuk tumbangkan kerajaan perpaduan melalui pilihan raya akan datang.

“Bukan secara tebuk atap, akuan bersumpah (SD) atau Langkah Sheraton kerana perbuatan ini menggusarkan rakyat dan pelabur.

“Saya berkeyakinan penuh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertahan sehingga pilihan raya akan datang,” katanya.

Baru-baru ini Abdul Hadi dilaporkan berkata PN mempunyai hak untuk merancang menjatuhkan kerajaan perpaduan kerana ia amalan biasa dalam negara demokrasi.

“Itu satu kenyataan politik dan biasa berlaku dalam politik, undi tidak percaya dan dapatkan SD, penyokong kerajaan berpaling tadah itu berlaku.

“Memang kita berhak merancang tidak ada siapa yang boleh halang, kita nak merancang.

“Sebab itu sesuatu tidak mustahil berlaku. Memang berlaku dalam negara demokrasi,” katanya.

Malah Abdul Hadi mendakwa ketika ini wujud dakwaan bahawa ada parti dalam kerajaan perpaduan, tidak berpuas hati kepimpinan Perdana Menteri. – Malaysiapost

Komen