Mengapa Shahrizat akan menang jawatan Ketua Wanita Umno?

Mengapa Shahrizat akan menang jawatan Ketua Wanita Umno?

Mohamad Basri Jamal

BERDASARKAN tinjauan dan pemerhatian, ada beberapa sebab mengapa Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil akan mampu mengalahkan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam pemilihan jawatan Ketua Wanita Umno pada 11 Mac ini.

Antara sebab utamanya ialah kerana nama Shahrizat dilihat jauh lebih sinonim dengan Wanita Umno berbanding Noraini.

Perlu diingat, Shahrizat menjadi Ketua Wanita Umno pada Mac 2009 setelah mengalahkan satu nama besar dalam Umno, iaitu Tan Sri Rafidah Aziz. Beliau kekal di jawatan tersebut sehingga beliau mengumumkan tidak mempertahankan jawatannya pada Jun 2018.

Sepanjang tempoh Shahrizat menjadi Ketua Wanita, beliau juga menjadi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari April 2009 ke April 2012, Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dari Ogos 2013 ke Mei 2018.

Malah sebelum Shahrizat menjadi Ketua Wanita Umno lagi, beliau sudah dikenali sebagai perintis kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Bermula dari penubuhannya selaku Kementerian Hal Ehwal Wanita pada Januari 2001, ia diterajui oleh Shahrizat. Setelah namanya ditukar menjadi Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga pada Februari 2001, ia diterajui oleh Shahrizat.

Bila namanya diperluaskan kepada namanya sekarang (KPWKM) pada Mac 2004, ia juga terus diterajui oleh Shahrizat sehinggalah bila beliau terpaksa meninggalkan KPWKM setelah kalah mengejut dengan majoriti tipis 2,895 undi di tangan Nurul Izzah Anwar di kerusi P121 Lembah Pantai dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).

Dalam tempoh itu, begitu banyak usaha yang dilakukan oleh Shahrizat di KPWKM untuk memanfaatkan Wanita Umno khasnya dan Wanita Malaysia amnya.

Amnya, tanggungjawab meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya peranan golongan wanita dan institusi kekeluargaan untuk mencapai agenda pembangunan negara, khasnya pencapaian sasaran kesamarataan jantina, pembangunan keluarga dan masyarakat penyayang, terlekat erat dengan nama Shahrizat sebagai Menteri pertamanya.

Malah, selepas kekalahan dalam PRU12, imej beliau sebagai Ibu Wanita terus teguh bila dilantik sebagai Penasihat Khas bertaraf Menteri mengenai Hal-Ehwal Pembangunan Wanita dan Sosial kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Mac 2008.

Bandingkan pula dengan Noraini yang menjadi Ketua Wanita Umno pada Jun 2018 setelah mengalahkan Naib Ketua Wanita Umno waktu itu, Datuk Azizah Mohd Dun, dan bekas Ketua Wanita Umno 1996-2000, Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman.

Dalam tempoh Noraini menjadi Ketua Wanita, beliau juga menjadi Menteri Pengajian Tinggi sewaktu Tan Sri Mahiaddin Md Yasin menjadi Perdana Menteri dari Mac 2020 ke Ogos 2021 dan sewaktu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri dari Ogos 2021 ke Oktober 2022.

Begitupun, sewaktu di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Noraini dilihat tidak mempunyai banyak ruang untuk melakukan perkara-perkara yang boleh melonjakkan nama beliau di kalangan Wanita Umno khasnya dan Wanita Malaysia amnya, mungkin kerana ruang lingkup portfolio beliau bergerak di sekitar perjalanan dan pemantauan institut pengajian tinggi sahaja.

Satu lagi sebab mengapa Shahrizat dijangka akan mampu mengalahkan Noraini adalah kerana sejak mutakhir ini ketidakpuasan hati akar umbi Wanita Umno terhadap Noraini adalah berada pada tahap yang agak tinggi berbanding terhadap Shahrizat.

Sewaktu Shahrizat meninggalkan jawatan Ketua Wanita, Umno masih menang 54 kerusi Parlimen dalam PRU14 berbanding selepas Noraini mengambil-alih jawatan itu yang menyaksikan Umno hanya menang 26 kerusi Parlimen dalam PRU15.

Dalam konteks Wanita Umno pula, calon Parlimen mewakili Wanita Umno lebih tinggi dalam PRU14 berbanding dalam PRU15. Begitu juga calon Parlimen mewakili Wanita UMNO yang menang lebih tinggi dalam PRU14 (5) berbanding dalam PRU15 (2).

Ketidakpuasan hati Wanita Umno juga semakin meninggi bila tiada seorang pun daripada calon Parlimen mewakili Wanita Umno yang menang ini dimasukkan ke dalam Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan yang mengangkat sumpah jawatan pada 2 Disember 2022.

Ini ditambah pula dengan ketidakberanian Noraini untuk mengambil tanggungjawab atas kekalahan Umno dalam PRU 15 dengan tidak mempertahankan jawatannya bagi memastikan Wanita Umno dinakhodai oleh orang baharu yang boleh membawa idea lebih segar seperti yang dilakukan oleh Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dan Shahrizat dahulu.

Lebih parah bila berlaku penolakan ke atas usul yang dikemukakan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 agar jawatan tertinggi Wanita UMNO Pusat dan Wanita Umno Bahagian tidak dipertandingkan yang dikira membuktikan bahawa akar umbi Wanita Umno memang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Noraini dan mahukan kepimpinan baharu.

Malah, ketidakpuasan hati Wanita Umno ini sejak kebelakangan semakin diluahkan secara terbuka termasuk pendedahan Ketua Wanita Umno Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah, bahawa sebahagian besar daripada Ketua Wanita Umno Bahagian yang menemui Shahrizat tegas mahukan Shahrizat kembali menerajui kepimpinan Wanita Umno.

Selain jalinan dan hubungan erat Shahrizat dengan pemimpin-pemimpin tertinggi parti dan kerajaan dalam Kerajaan Perpaduan sekarang, pendekatan Shahrizat yang bersifat keibuan dan mesra Wanita juga dikatakan lebih mudah diterima oleh Wanita Umno.

Begitu juga dengan visi Shahrizat yang lebih jelas, iaitu jika beliau dipilih mengetuai Wanita Umno kembali, selaras dengan pengalaman dan kebijaksanaan beliau, antara agenda utama beliau adalah memberi tempat, ruang dan peluang menggilap potensi pemimpin pelapis.

Dari segi latar belakang juga, kelulusan dalam bidang undang-undang yang dipunyai oleh Shahrizat dilihat lebih relevan dengan tumpuan semasa Kerajaan Perpaduan ke arah tatakelola baik (good governance), undang-undang dan reformasi institusi.

Apatah lagi dengan kedudukan Shahrizat selaku Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (PARFUM) yang berpengaruh sekali melalui gabungan pelbagai tokoh undang-undang negara.

Ada juga yang melihat semacam ada petunjuk kemenangan untuk Shahrizat bila Noraini tidak diberikan jawatan dalam Kerajaan Perpaduan yang menyebabkan beliau ketiadaan platform untuk bergerak, selain liputan lebih meluas diberikan media massa kepada Shahrizat sekarang.
.

MOHAMAD BASRI BIN JAMAL

Penulis ialah Pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Komen