Mentega Terbang: Tiada mana-mana kerajaan yang salah, kata Shahrir

Mentega Terbang: Tiada mana-mana kerajaan yang salah, kata Shahrir

TIADA mana-mana kerajaan sama ada di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahupun Datuk Seri Anwar Ibrahim merestui filem kontroversi, Mentaga Terbang.

Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad berkata Mentega Terbang adalah filem ‘indie’ diterbitkan pada 2020 dan pertama kali ditayang pada November 2021 di pesta filem negara jiran.

Tambahnya, kemudian ia ditayangkan secara atas talian sebelum filem ini mencetuskan kontroversi pada awal tahun ini.

Susulan menjadi kontroversi, bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata maka bermula tuduh menuduh dan mencari siapa yang salah.

Ini kerana katanya, di Malaysia orang politik suka sangat mencari kemenangan politik pada setiap kesempatan.

“Penerbitannya pada masa Kerajaan PN TS Muhyidin. Tayangan pertamanya pada masa Kerajaan Keluarga Malaysia DS Ismail Sabri.

“Dimuatnaik ke Internet mungkin pun sebelum PRU15 dan berada di atas talian apabila kerajaan baharu, iaitu Kerajaan Perpaduan, terbentuk.

“Semasa ditayang di sebuah pesta filem di luar negara, kelulusan kerajaan tidak diperlukan. Maka bukanlah salah kerajaan ketika itu.,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Menurut Shahrir, begitu juga dengan penerbitannya, filem arahan sutradara muda, Khairil Anwar, tidak memerlukan kelulusan kerajaan, apatah lagi apabila dimuat naik ke atas talian.

“Jadi, tak ada satu kerajaan yang terlibat merestui filem itu. Jadi apa salahnya kalau semua orang bersatu hati membantah filem ini.

“Ini lebih baik dari cuba menuduh-nuduh mana-mana kerajaan sebagai yang bertanggungjawab,” katanya.

Katanya lagi, PAS, Umno dan Bersatu berada dalam kerajaan ketika filem itu diterbitkan dan tiada yang tahu mengenainya.

“PAS, UMNO dan Bersatu pun dalam kerajaan semasa ia ditayangkan kali pertama dan dimuatnaik ke atas talian. Tak tahu pun.

“PAS dan Bersatu baru tahu pun selepas jadi kontroversi. Takkan asyik nak cari ‘point’ politik. Kita cari kebaikan kan lebih baik,” katanya.

Sejak minggu lalu, filem Mentega Terbang tular selepas dikecam mengandungi babak didakwa seakan-akan mempersenda dan menyentuh sensitiviti umat Islam.

Filem berdurasi sejam 45 minit itu menjadi bualan hangat kerana mengandungi babak seorang bapa yang berfikiran terbuka apabila tidak menghalang anak memilih agama, di mana perbuatan itu bertentangan dengan Islam. – Malaysiapost

Komen