Menteri-menteri zaman PKP, darurat sedang disiasat – Isham Jalil

Menteri-menteri zaman PKP, darurat sedang disiasat – Isham Jalil

KETUA Penerangan Umno, Isham Jalil mendakwa turut mendengar khabar angin mengatakan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan ditahan esok berhubung penyelewengan dana kerajaan.

Beliau turut mendakwa mendengar mengenai siasatan oleh pihak berkuasa terhadap beberapa menteri ketika pemerintahan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu selama 17 bulan.

“Memang ada ura-ura (Muhyiddin) akan ditangkap esok seperti yang dilaporkan dalam portal-portal berita hari ini berkenaan kes Jana Wibawa dan banyak lagi kes.

“Sebab itu saya lihat puak-puak, ‘kluster menteri-menteri’ lama masa zaman Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, mereka sedang tak senang duduk sekarang ini,” katanya di Facebook malam ini.

Menggambarkan ‘kluster menteri’ berkenaan sebagai pemimpin Umno yang menjadi menteri ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, Isham bagaimanapun tidak menjelaskan siapa yang dimaksudkannya.

“Saya tak tahulah KJ (Khairy Jamaluddin) pun ada kena mengena atau tidak…saya tak tahu sebab dia pun masa PKP, Darurat dia jadi menteri juga. Saya tak tahu sama ada dia pun tak senang duduk atau tidak , itu kena tanya dia.

“Menteri-menteri ini sedang disiasat sekarang ini, jadi mereka sedang sedaya upaya menukar kerajaan,” katanya.

Isham berpandangan, ahli Umno perlu memastikan ‘kluster menteri’ berkenaan tidak boleh menang Pemilihan Umno 2023 atau menguasai Umno, kerana jika mereka menguasai parti, maka mereka akan melepaskan Muhyiddin daripada didakwa.

“Saya tak boleh biarkan.. Muhyiddin kena jawab apa dia buat dengan dana berbilion ringgit dan kes-kes (dakwaan) rasuah seperti tuduhan rasuah pengundi. Dia kena jawab, kalau tak lepas macam tu sahaja.

“Saya tak sokong geng ‘broker’, geng yang menyokong Muhyiddin ini untuk tukar kerajaan,” katanya.

Beliau turut berpendapat, siasatan dan tindakan terhadap mana-mana ahli politik atau menteri yang didakwa terbabit dalam salah guna kuasa atau rasuah adalah satu tindakan yang bagus.

“Kalau kita nak bersihkan politik Malaysia ini, maka (siasatan) ini perkembangan yang bagus supaya sesiapa yang masuk dalam kerajaan perlu lebih berhati-hati.

“Kalau buat macam ini tiada lagi yang nak jadi menteri atau Perdana Menteri jika niat tak baik. Kita nak yang betul-betul berkhidmat untuk rakyat dan negara.

“Selepas ini jika ada bekas Perdana Menteri masuk penjara kerana kes rasuah sama ada Muhyiddin atau Tun Dr Mahathir Mohamad mereka perlu hadaplah,” katanya.

Sementara itu, Isham turut menegaskan supaya Umno tidak dipersalahkan jika benar bekas Perdana Menteri itu ditahan esok dan didakwa di mahkamah. – Malaysiapost

Komen