MH370 : ‘Itu sesuatu yang perlu kita terima, walaupun sukar’ – Tun M
BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengimbau kehilangan pesawat MH370 yang hilang daripada skrin radar dua jam selepas berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, sembilan tahun lalu.
Beliau berkata, misteri terbesar dalam sejarah penerbangan itu belum menemui sebarang bukti sehingga hari ini.
“Mungkin ada cakap-cakap tentang kapal terbang itu terhempas ke laut. Tetapi kami tidak mempunyai bukti nyata untuk menunjukkan ia terhempas ke dalam laut.
“Kami juga tidak mempunyai sebarang bukti bahawa mereka mendarat di mana-mana atau terhempas di darat.
“Jadi, ini amat meresahkan saudara mara kerana mengetahui sesuatu berlaku kepada mereka adalah satu kelegaan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Dr Mahathir berkata, semua ahli keluarga penumpang yang berada dalam MH370 harus terus bersabar dan menerima bahawa pesawat malang itu telah hilang bersama-sama penumpang dan anak kapal.
Ujarnya, jika teori yang menyatakan pesawat itu diambil alih oleh pihak lain dan diterbangkan ke destinasi lain, maka kemungkinan besar penumpang dan anak kapal tidak lagi bernyawa
“Apa yang berlaku kepada kapal terbang, berlaku kepada penumpang,” katanya lagi.
Dalam hantaran sama, Dr Mahathir berdoa dan berharap agar pencarian pesawat MH370 diteruskan.
Bagaimanapun, beliau berkata jika pencarian yang dijalankan selama bertahun-tahun menemui jalan buntu, maka semua pihak harus menerima hakikat bahawa kita sudah kehilangan penumpang dan anak kapal bersama-sama pesawat MH370.
“Itu adalah sesuatu yang perlu kita terima, walaupun sukar,” ujarnya.
Pada 8 Mac 2014, pesawat MH370 gagal dikesan atau diketahui walaupun diisytiharkan ia berakhir di Lautan Hindi
Pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 Mac 2014 itu dijadual tiba di Beijing China beberapa jam kemudian.
Namun, sejam selepas berlepas, iaitu pada jam 1.22 pagi waktu Malaysia, MH370 hilang dari radar pihak berkuasa ketika berada di lingkungan Laut Cina Selatan.
Susulan itu, operasi mencari secara besar-besaran membabitkan beberapa negara dijalankan di kawasan berkeluasan berjuta-juta kilometer persegi di selatan Lautan Hindi namun pesawat MH370 atau bangkainya gagal ditemukan
Tragedi MH370 disifatkan sebagai misteri penerbangan terbesar dalam sejarah penerbangan. – Malaysiapost