Najib lanjut pengajian pasca siswazah dalam penjara
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini melanjutkan pengajian peringkat pasca siswazah di Penjara Kajang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bukan perkara biasa bagi seorang banduan melanjutkan pelajaran ketika menjalani hukuman penjara.
“Najib kini mengisi masanya dengan melanjutkan pelajaran di peringkat pasca siswazah.
“Di Penjara Kajang, ada juga dalam kalangan banduan yang berjaya menamatkan pelajar di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD). Ramai yang tidak mengetahui perkara ini,” katanya seperti dilaporkan Sin Chew Daily.
Najib, 70, menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos tahun lalu, selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengekalkan sabitan ke atasnya.
Ditanya sama ada Najib mempunyai akses kepada media sosial, Saifuddin berkata, tidak.
“Dia secara fizikalnya di penjara di Kajang namun, dia (Najib) ada pasukan medianya tersendiri.
“Saya dimaklumkan mereka ada ‘username’ dan ‘password’ serta mereka boleh memuat naik pandangannya di media sosial.
“Sama ada dia memiliki akses kepada sebarang peranti pintar, jawapannya ialah tidak,” katanya.
Menurut Saifuddin, pandangan disampaikan Najib tidak berbeza dengan kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau berada di Penjara Sungai Buloh sebelum ini.
“Seperti Anwar, ketika beliau dipenjara sebelum ini. Apabila hadir di mahkamah, beliau akan membuat kenyataan spontan atau nota untuk disiarkan.
“Najib secara fizikalnya berada di penjara tetapi mindanya bebas,” katanya. – Malaysiapost