Pemuda Amanah mohon Agong tarik balik gelaran Tan Sri daripada Hadi Awang

Pemuda Amanah mohon Agong tarik balik gelaran Tan Sri daripada Hadi Awang

PEMUDA Amanah memohon pertimbangan Yang di-Pertuan Agong menarik semula gelaran ‘Tan Sri’ yang dianugerahkan kepada Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 2021.

Naib Ketuanya, Abbas Azmi, menyifatkan tindakan Abdul Hadi mengakui ada usaha untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai biadap dan tidak menghormati titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja-Raja Melayu.

Menurutnya apa yang dilakukan oleh Abdul Hadi yang juga Presiden PAS tidak boleh dibiarkan kerana telah banyak kali Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya semua pihak memulihkan keadaan negara.

“Seharusnya sebagai ahli politik yang senior dan berimejkan Islam serta mempunyai gelaran tuan guru, dia sepatutnya bersama-sama membina negara, demi rakyat bukannya gila kuasa dan mahu menjatuhkan kerajaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghantar Memorandum Kebiadapan Ahli Parlimen Marang itu di Istana Negara hari ini.

Tambah Abbas, jika Hadi masih meneruskan tindakan biadap itu, Pemuda Amanah akan menggerakkan ‘roadshow’ di seluruh negara untuk menyedarkan rakyat.

“Kebiadapan ini tidak boleh diteruskan dan perlu diberhentikan. Kita akan memberikan kesedaran kepada rakyat mengenai tindakan ahli politik PN yang tidak menghormati undang-undang yang ada di dalam negara kita,” katanya.

Baru-baru ini Abdul Hadi dilaporkan berkata PN mempunyai hak untuk merancang menjatuhkan kerajaan perpaduan kerana ia amalan biasa dalam negara demokrasi.

“Itu satu kenyataan politik dan biasa berlaku dalam politik, undi tidak percaya dan dapatkan SD, penyokong kerajaan berpaling tadah itu berlaku.

“Memang kita berhak merancang tidak ada siapa yang boleh halang, kita nak merancang.

“Sebab itu sesuatu tidak mustahil berlaku. Memang berlaku dalam negara demokrasi,” katanya.

Malah Abdul Hadi mendakwa ketika ini wujud dakwaan bahawa ada parti dalam kerajaan perpaduan, tidak berpuas hati kepimpinan Perdana Menteri. – Malaysiapost

Komen