Peniaga maut terkena tayar lori tercabut
SEORANG peniaga maut selepas terkena tayar lori yang tercabut di Kilometer 43 Jalan Pantai, Kuala Terengganu-Kampung Raja, semalam.
Dalam insiden kira-kira jam 5 petang itu, Muhammad Airiel Rizman Mohamad Nazari, 18, dari Kampung Mengabang Panjang, Kuala Terengganu sedang berniaga di tepi jalan bersama rakannya, Nik Muhammad Afiq Rizani Mohd Zainani, 22.
Ketua Polis Setiu, Afandi Hussin berkata, siasatan awal mendapati lori terbabit dari Kampung Merang ke Kampung Telaga Papan, sebelum sebiji tayar belakangnya tercabut dan terpelanting ke tepi jalan.
“Tayar tersebut terkena Airiel Rizman dan Nik Muhammad Afiq yang sedang berniaga di tepi jalan.
“Airiel Rizman meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di dada, manakala Nik Muhammad Afiq patah tangan kanan dan luka di bahagian muka,” katanya dalam kenyataan.
Afandi berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Setiu, manakala rakannya turut menerima rawatan di hospital sama.
Menurutnya, pemandu lori berusia 37 tahun yang berasal dari Kelantan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Rakaman percakapan saksi dan waris si mati diambil untuk siasatan. Lori tersebut juga dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Setiu untuk pemeriksaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Malaysiapost