Saifuddin jawab isu surat RoS di Parlimen hari ini

Saifuddin jawab isu surat RoS di Parlimen hari ini

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan menjawab isu mengenai surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kepada Umno di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, beliau akan memberi penjelasan mengenai pengecualian yang diberikan kepada Umno mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 yang dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat semalam.

“Saya tahu ramai media yang ingin dapatkan penjelasan lanjut berhubung kait dengan peruntukan Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 sebagaimana kenyataan media saya pagi tadi (semalam).

“Tapi saya juga perlu hormati pertanyaan yang dikemukakan beberapa Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Maka saya akan ambil ruang esok (hari ini) untuk menjawab hal berbangkit dalam perkara ini di Dewan Rakyat, InsyaAllah,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) meminta Saifuddin menjelaskan kriteria dalam memberi pengecualian kepada Umno daripada mematuhi Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) berhubung usul tambahan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Takiyuddin yang juga Ketua Whip Parlimen PN mendakwa, kenyataan terbaharu menteri berkenaan dilihat bercanggah dengan surat dikeluarkan RoS bertarikh 2 Mac lalu yang tular semalam.

Jelas beliau, surat mengatakan bahawa RoS mendapati usul tambahan Umno yang dibuat ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 adalah tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan Perlembagaan parti berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pula memaklumkan akan mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat, hari ini berhubung kewujudan surat yang dikatakan daripada RoS mengenai pemilihan Umno.

Semalam, Saifuddin Nasution dalam kenyataan memaklumkan, KDN memberi pengecualian kepada Umno daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti kali ini.

Keputusan itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966.

Seksyen 13(1)(c)(iv) akta berkenaan pula memperuntukkan Pendaftar boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan berdaftar yang didapati melanggar secara sengaja mana-mana peruntukan atau peraturan dalam akta itu.

Pada 20 Januari lalu, dua ahli Umno memfailkan notis bantahan kepada RoS berhubung ketetapan PAU 2022 untuk tidak mempertandingkan dua jawatan itu yang didakwa tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti. – Malaysiapost

Komen