Sanusi jangan panas, jangan koyak, kata Guan Eng

Sanusi jangan panas, jangan koyak, kata Guan Eng

LIM Guan Eng mengingatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar ‘tidak panas dan koyak’.

Ia susulan usul dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih dari DAP itu bagi mencadangkan supaya ketetapan diambil terhadap dakwaan ucapan provokasi yang bersifat menghasut dan ekstremis oleh Muhammad Sanusi berhubung isu kedaulatan Pulau Pinang semalam.

“Saya tegas mempertahankan kedaulatan negeri Pulau Pinang berasal daripada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan bentuk, nyawa dan kuasa perundangan mutlak kepada Pulau Pinang sebagai sebuah kerajaan negeri serupa dengan 13 negeri lain yang membentuk Persekutuan Malaysia.

“Sanusi jangan panas, jangan koyak. Jangan cabar kedaulatan Pulau Pinang; pantang disentuh, kita pertahan,” tulis bekas Ketua Menteru Pulau Pinang itu di Facebooknya.

Terdahulu semalam usul tersebut telah diterima sebulat suara, termasuk oleh ketua pembangkang Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (Umno – Sungai Dua) dan Mohd Yusni Mat Piah (PAS – Penaga).

Pada 27 Februari lalu, Guan Eng di Dewan Rakyat menyelar Muhammad Sanusi yang didakwa mempersoal keabsahan negeri Pulau Pinang dan didakwa mengapi-apikan sentimen ekstremis.

Muhammad Sanusi sebelum ini mengeluarkan kenyataan mengingatkan bahawa Pulau Pinang adalah negeri yang dipajak dari Kedah.

Katanya, fakta itu adalah berdasarkan sejarah, justeru Pulau Pinang tidak sepatutnya masuk campur dan menegur urusan pentadbiran kerajaan negeri. – Malaysiapost

Komen