Saya buat keputusan betul tak sokong usul – Noh Omar

Saya buat keputusan betul tak sokong usul – Noh Omar

TAN Sri Noh Omar menegaskan beliau membuat tindakan yang betul apabila tidak bangun menyokong usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 lalu.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu berkata ini kerana usul tersebut bercanggah dengan perlembagaan Umno.

“Tafsiran saya berkenaan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan ketika PAU akhirnya terjawab.

“Ia merupakan tindakan yang betul bila saya tidak bangun menyokong kerana usul itu bercanggah dengan perlembagaan Umno.

“Saya tidak ada masalah untuk menyokong ketika itu sekiranya usul itu mengikut perlembagaan parti,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam di Dewan Rakyat, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) meminta Menteri Dalam Negeri menjelaskan kriteria dalam memberi pengecualian kepada Umno daripada mematuhi Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) berhubung usul tambahan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Takiyuddin yang juga Ketua Whip Parlimen PN mendakwa, kenyataan terbaharu menteri berkenaan dilihat bercanggah dengan surat dikeluarkan RoS bertarikh 2 Mac lalu yang tular semalam.

Jelas beliau, surat mengatakan bahawa RoS mendapati usul tambahan Umno yang dibuat ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 adalah tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan Perlembagaan parti berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim pula memaklumkan akan mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat hari ini berhubung kewujudan surat yang dikatakan daripada RoS mengenai pemilihan Umno. – Malaysiapost

Komen