‘Saya tak selesa berbikini atas pentas’ – Amelia Henderson

‘Saya tak selesa berbikini atas pentas’ – Amelia Henderson

PELAKON dan model, Amelia Henderson meluahkan rasa lega apabila segmen berbikini atau mengenakan baju mandi tidak lagi menjadi syarat pertandingan ratu cantik Miss Universe Malaysia 2023.

Ia selepas pemilik nama sebenar Amelia Thripura Henderson itu menyatakan hasrat untuk menyertai pertandingan ratu cantik berkenaan, pada tahun ini.

Katanya, dia mahu mencuba nasib dalam pertandingan berkenaan memandangkan ia adalah peluang terakhir berdasarkan had umur dibenarkan.

“Saya memang nak sertai dan sedang mempertimbangkan sama ada nak masuk atau tak. Kalau betul saya masuk, alangkah baik kalau dapat sokongan anda,” kata pelakon berusia 27 tahun itu.

Menyentuh berkenaan syarat perlu memperagakan pakaian mandi dalam pertandingan itu, Amelia berkata dirinya tidak begitu selesa untuk berbikini di atas pentas.

“Saya bukan seorang yang selesa memperagakan bikini atas pentas. Saya tak rasa saya sanggup lakukan itu sampai bila-bila. Tapi sekarang, pengurusan mereka pun sudah bertukar tangan,”ujarnya.

Katanya lagi, dia tidak akan memakai bikini di atas pentas selain merasa tidak mahu bersaing dalam pertandingan berkenaan.

“Saya tak rasa ingin bersaing. Untuk bertanding dengan wanita lain, saya ragu-ragu tapi nak sebenarnya. Kalau saya tak masuk tahun ini, sudah tak ada ruang untuk bertanding,” ujarnya.

Untuk Miss Universe Malaysia 2023, pihak pengurusan pertandingan itu bukan sekadar membuka penyertaan kepada wanita bujang, sebaliknya memberi peluang kepada wanita sudah berkahwin, pernah berkahwin, malah golongan ibu turut dialu-alukan.

Bagaimanapun, had umur bagi melayakkan mereka untuk bertanding iaitu dari 18 hingga 27 tahun sahaja.

Amelia sebelum ini pernah berkahwin dengan Tunku Datuk Harrunnarasheed Putra Tunku Anuar pada 14 Ogos 2015 namun bercerai pada Ogos 2018. – Malaysiapost

Komen