‘Saya tak tahu surat tular itu’ – Zahid

‘Saya tak tahu surat tular itu’ – Zahid

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan tidak tahu kewujudan surat tular mengenai usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan tidak sah.

“Saya tidak mengetahui surat yang tular itu,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian diminta mengulas surat tular berkaitan keputusan jawatan ‘top 2’ tidak dipertandingkan selepas hadir pada Majlis Pengenalan Calon Umno di Kota Kinabalu malam tadi.

Terdahulu, tular surat didakwa daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) itu dihantar kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 2 Mac lalu yang memaklumkan usul tambahan tidak sah.

Ahmad Zahid bagaimanapun mengesahkan bahawa Setiausaha Agung Umno telah pun menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Ia memberi keabsahan bahawa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 telah membawa usul jawatan Presiden dan Timbalan tidak ditandingi.

“Ini hanya setelah pengerusi tetap mengikuti semua peraturan yang telah termaktub dalam peraturan mesyuarat termasuk Perhimpunan Agung,” katanya.

Beliau menjelaskan, apabila usul telah dikemukakan pada Perhimpunan Agung, perlu diketahui bahawa ia adalah badan tertinggi dalam Perlembagaan Umno.

“Perhimpunan Agung telah membuat keabsahan sebagaimana yang dilakukan oleh pengerusi tetap dan mengikut peraturan dan Perlembagaan parti.

“Maka surat yang dikemukakan oleh KDN itu adalah surat yang menunjukkan bahawa kuasa untuk menentukan Akta Pertubuhan 1996 Perkara 70 adalah memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri memberikan keabsahan terhadap peraturan dan juga Perlembagaan Umno itu dipatuhi.

“Ini kerana Akta Pertubuhan 1996 menyebutkan tugas RoS adalah untuk menjaga kepentingan ahli-ahli mana-mana badan yang berdaftar dengan RoS dan kepentingan ahli itu mengikut seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan.

“Maka dalam hal ini kuasa menteri adalah kuasa utama untuk menentukan keabsahan Perhimpunan Umno 2022,” katanya. – Malaysiapost

Komen